Militan terbunuh,pengganas paling diburu

Militan terbunuh,pengganas paling diburu

JAKARTA, 19 Julai – Polis semakin yakin militan yang terbunuh semalam (18 Julai) ialah pengganas paling diburu di Indonesia – Santoso.

Pegawai polis Indonesia yang pernah bertempur dengan Santoso, serta penduduk tempatan, mengatakan kemungkinan besar orang yang terbunuh itu ialah Santoso, kata Ketua Polis Negara Tito Karnavian.

“Kita katakan kemungkinan 90 peratus dia Santoso,” kata Jeneral Tito ketika pengesahan mayat pemimpin Mujahideen Indonesia Timur (MIT) itu masih menjadi tanda tanya.

“Ini berdasarkan beberapa pegawai yang mengawal Santoso semasa dia ditangkap pada 2005,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Presiden Joko Widodo di Istana Negara.

Polis sedang menjalankan satu siri ujian forensik ke atas mayat militan itu, yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di kawasan hutan di Poso, Sula-wesi Tengah pada Isnin.

Santoso dan orang-orangnya daripada MIT telah berikrar setia kepada kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), dan merupakan dalang dalam banyak serangan ke atas polis dalam tahun-tahun kebelakangan.

Pada Mac, Amerika Syarikat meletakkan penetapan pengganas khas ke atas Santoso, menyekat sebarang aset yang mungkin dimilikinya di negara itu, mengharamkan rakyat Amerika berurusan dengan dia, dan membuka jalan bagi tindakan penguatkuasaan undang-undang Amerika terhadapnya.

Identiti lelaki yang disyaki adalah Santoso tidak dapat dipastikan dengan segera. Tahi lalat di dahinya, bagaimanapun, membuat polis mengesyaki mereka mungkin akhirnya berjaya membunuh pengganas itu. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA