Mimpi buruk penyokong Jepun

Mimpi buruk penyokong Jepun

TOKYO, 7 Julai (Reuters) – Kekalahan skuad bola sepak wanita Jepun di tangan Amerika Syarikat pada aksi final Piala Dunia di Vancouver kelmarin, jelas tidak dapat diterima sebahagian besar penyokong setia skuad ‘Nadeshiko’ apabila menitiskan air mata sejurus tamat aksi itu.

Harapan menggunung ribuan penyokong setia skuad Matahari Terbit yang mahu gelaran dunia dimenangi empat tahun lalu dikekalkan bertukar menjadi mimpi paling buruk selepas Amerika Syarikat berjaya mendahului lawan 4-0 dalam tempoh 16 minit babak pertama.

Bagaimanapun, Jepun berjaya memecah kebuntuan menerusi Yuki Ogimi pada minit ke-27 sekali gus menghidupkan peluang untuk bangkit biarpun kelihatan agak sukar.

Jaringan sendiri Julie Johnston membolehkan Jepun merapatkan kedudukan 4-2, namun selang dua minit kemudian naib juara pada edisi lalu itu kembali mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan kelima sekali gus menamatkan sisa-sisa perjuangan juara bertahan itu.

Reaksi penyokong Jepun di Tokyo selepas pasukan mereka tewas kepada AS dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita di Vancouver kelmarin. – Reuters
Reaksi penyokong Jepun di Tokyo selepas pasukan mereka tewas kepada AS dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita di Vancouver kelmarin. – Reuters

“Keputusan ini memang menyedihkan tetapi jaringan Yuki Ogimi amat menakjubkan. Mereka cuba bangkit walaupun ketinggalan dan itu menunjukkan semangat juang yang dimiliki pasukan,” kata Naomi Ushimi, 38, yang juga penyokong tegar pasukan bola sepak wanita Jepun.

Sementara itu, menurut Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, kehilangan gelaran dunia itu amat dirasai tetapi ia menunjukkan contoh positif kepada negara lain.

“Skuad Nadeshiko kita muncul naib juara Piala Dunia kali ini. Pasukan sudah membuktikan sesuatu dengan mara dua kali ke pentas final.,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA