Mimpi England

Mimpi England

LONDON, 4 Sept (Agensi) – Pengurus England, Roy Hodgson telah memberitahu anak-anak buahnya bahawa mereka berpeluang untuk menjuarai kejohanan bola sepak Euro 2016 pada musim panas akan datang.

Bos skuad The Three Lions itu telah membimbing pasukannya untuk mencatat enam kemenangan berturut-turut dalam kempen kelayakan dan mereka akan mengesahkan kedudukan di pusingan akhir di Perancis jika England menang ke atas pasukan kerdil San Marino dan Slovenia gagal menumpaskan Switzerland.

Walaupun kecewa dalam beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk tersingkir di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia tahun lalu, Hodgson memberitahu pemain-pemainnya minggu ini bahawa mereka boleh menamatkan penantian England selama 50 tahun untuk mengecapi kejuaraan.

Pemain tengah Swansea, Jonjo Shelvey yang menyertai semula barisan England untuk menghadapi dua perlawanan berturut-turut itu, termasuk menentang Switzerland pada Selasa depan, berkata: “Pasukan telah bermesyuarat mengenai perlawanan sebelum ini.

“Tetapi dia (Hodgson) cuma berkata, kami ada pilihan iaitu terus menang dan kekal dengan keadaan sekarang atau naik ke satu tahap lebih baik dari segi prestasi, kerana tiada sebab mengapa pasukan England, yang memiliki pemain terbaik tidak mampu memenangi Kejuaraan Eropah.

“Itu yang Roy Hodgson mahu kami lakukan, dan itu juga yang kami mahukan. Mesyuarat itu sangat bersemangat. Dia mahu kami menang dan saya percaya kami mampu melakukannya.

ARTIKEL YANG SAMA