Minat berbasikal menunjukkan peningkatan

Minat berbasikal menunjukkan peningkatan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Meskipun penyertaan terhad pada tahun 2016 namun penyertaan dalam beberapa penganjuran tempatan dan serantau menyaksikan barisan pelumba basikal kebangsaan sangat proaktif dalam sukan tersebut.

Perkara itu dijelaskan oleh Jurulatih Lumba Basikal Kebangsaan, Awang Yafiz Jamaludin ketika ditemui baru-baru ini sebelum menyatakan bahawa terdapat satu lagi penyertaan serantau akan disertai bulan ini di Malaysia yang digunakan sebagai persiapan awal bagi sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur tahun depan.

Beliau kemudian menambah bahawa penyertaan berbasikal yang lebih aktif ketika ini merupakan satu peluang terbaik bagi pihaknya untuk melihat bakat baru untuk diserap masuk ke barisan pelumba kebangsaan.

“Penyertaan dalam acara lumba basikal menampakkan peningkatan yang memberangsangkan dan pihak persatuan terpaksa mengehadkan penyertaan dan pada saya ia adalah suatu yang kita hasratkan,” ujar Awang Yafiz.

Jurulatih basikal kebangsaan ketika ditemui bersama dua orang puterinya.
Jurulatih basikal kebangsaan ketika ditemui bersama dua orang puterinya.

Menurutnya penyertaan dalam perlumbaan anjuran Lof baru-baru ini menjadi batu loncatan menyerapkan seberapa ramai mungkin jumlah pelumba dan ia adalah kerana banyak acara yang akan dianjurkan dan kita memerlukan lebih banyak penyertaan tanpa mengharap kepada jumlah pelumba yang terhad.

“Selain daripada itu, sejumlah 10 hingga 15 orang pelumba akan saya panggil semula bagi menyertai barisan pelumba baru sedikit masa lagi dan kejohanan trek hujung bulan ini akan menjadi salah satu persiapan besar skuad negara,” tegasnya lagi.

Menurut penanda aras acara jalan raya boleh dilihat daripada perlumbaan di Singapura baru-baru ini dan pada acara di ibu kota Malaysia nanti akan menjadi penanda aras acara trek pula dan antara cabaran besar peserta negara adalah ketiadaan trek lumba namun itu bukan dijadikan alasan untuk tidak berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA