Minat grafik, fotografi dorong buka perniagaan sendiri

Minat grafik, fotografi dorong buka perniagaan sendiri

SANDAKAN, 26 April – Walaupun tanpa pendidikan formal dalam bidang reka bentuk grafik dan fotografi, Mohd Shazwan Nani nekad untuk menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang itu kerana minat yang mendalam.

Pemuda berusia 24 tahun dari Sandakan itu berkata sejak dari kecil lagi, beliau berminat dalam kedua-dua bidang tersebut dan mula belajar sendiri sambil dibantu rakan-rakan.

“Kerana minat mendalam, saya belajar sendiri dan dibantu rakan untuk menguasai beberapa perisian reka bentuk grafik seperti Adobe, Cinema 4D, Sony Vegas, Studio Max,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Shazwan berkata beliau mula menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pada 2012 dengan membuat rekaan kad nama, pelekat makanan dan kad jemputan kahwin yang memberikan beliau pendapatan sebanyak RM200 sebulan.

Setahun kemudian, beliau mula menjadi jurugambar perkahwinan dan mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dengan menggunakan media sosial untuk mempromosikan perniagaan serta hasil kerjanya. – Bernama