Minat terhadap lampu-lampu kreatif

PASANGAN suami isteri, Ross Ashton dan Karen Monid telah beberapa kali bergiat aktif dalam pemasangan pameran cahaya lampu yang kreatif yang mana karya kreatif mereka terpapar dari Istana Buckingham sehinggalah ke sebuah hotel di Las Vegas.

Malah baru-baru ini, pasangan itu telah mengadakan pameran cahaya lampu kreatif di Leeds, United Kingdom.

Pasangan suami isteri itu telah ikut serta dalam Festival Malam Bercahaya kali ke-13 dan berkemungkinan besar karya dari pasangan itu akan menjadi kemuncak pameran berkenaan.

Dianggarkan lebih daripada 40 lakaran seni yang berasaskan kepada cahaya lampu akan dipamerkan di kawasan Leeds malah pada tahun ini, pihak penganjur telah meletakkan karya Ross Ashton dan Karen Monid dari Projection Studio menjadi paparan utama setelah pasangan itu bergiat aktif dalam bidang berkenaan selama 25 tahun.

Festival Malam Bercahaya kali ke-13 itu akan memaparkan seni-seni cahaya yang dihasilkan oleh beberapa tokoh-tokoh seni di negara itu dan dianggarkan lebih daripada 40 seni berasaskan cahaya akan menggunakan pusat bandar Leeds sebagai lokasi mereka meletakkan karya-karya seni mereka untuk tatapan para pengunjung sama ada dalam negara atau luar negara.

Salah satu karya seni yang dipamerkan pada festival di Leeds. – AFP

“Dengan adanya pameran ini, kita akan seolah-olah kembali kepada zaman analog dan kami telah memotong beberapa filem hitam dan melukisnya dengan menggunakan tangan kami sendiri bersama-sama dengan pasangan saya,” kata Ross cuba mengingatkan kembali perjalanan karyanya.

Karen yang berusia 46 tahun berhenti bekerja sebagai jurutera bunyi di West End Muzium dan bergiat aktif dalam kerja-kerja seni.

“Sebenarnya kami berdua bermula dalam era pra digital sebelum adanya komputer.

Sejak itu, kami telah melalui revolusi digital, jadi bila anda berubah, anda perlu menyesuaikan diri, ada lebih banyak perkara baru yang mungkin ada sekarang. Itulah cabaran yang berterusan buat kami namun apa yang pasti, kami tidak pernah berhenti untuk mempelajari sesuatu baru,” tambah Ross lagi kepada media.

Berkembang ke seluruh dunia

Pasangan suami isteri itu telah bertemu pada tahun 1999 selepas sahaja Karen menghantar e-mel kepada Ross untuk mencari peluang pekerjaan. Setelah menjalinkan hubungan selama tujuh tahun akhirnya, pasangan kekasih itu telah menjadi suami isteri. Kebanyakan karya-karya seni mereka telah dipilih dan dibawa ke seluruh dunia seperti paparan cahaya untuk Sukan Olimpik London 2012 di mana mereka memaparkan pelbagai lakaran gambar di rumah-rumah parlimen, hotel-hotel di Las Vegas dan tempat-tempat suci di India.

Karya seni Ross dan Karen yang dipamerkan dalam sebuah bangunan di Leeds menarik perhatian orang ramai. – AFP

“Kami sebenarnya baru sahaja kembali dari Royal Edinburgh Military Tattoo, di mana kami mempunyai tugasan di istana dan tahun ini, kami akan bekerja di Blackpool Tower dan juga di beberapa wilayah di luar negara seperti California malah ini merupakan pertama kali kami ikut serta pameran di Leeds.

“Saya seorang Yorkshireman dan saya tidak pernah bekerja di sini, jadi ia sangat penting yang mana sesuatu yang kami berdua inginkan,” kata Ross kepada wartawan media.

Pasangan suami isteri itu juga pernah melaksanakan beberapa projek seni di York pada tahun 2010 dan 2013. Malah pasangan itu juga pernah terlibat dalam pameran imej mawar sebagai sebahagian daripada Festival Illuminating York, sementara yang terakhir, pasangan suami isteri itu mengubah Clifford Tower dengan paparan cahaya yang sangat memukau dikenali sebagai Triquetra.

Ross juga memegang dua Rekod Dunia Guinness di mana rekod pertama memaparkan ilustrasi cahaya yang memasukkan gambar orang ramai yang mana imej berkenaan merupakan 203,000 anak sekolah manakala rekod kedua pula, memaparkan 32 wajah Ratu Elizabeth yang mana kemudiannya dipamerkan di Istana Buckingham semasa dalam pembentukan Sukan Olimpik 2012.

Gabungan hasil seni

Catatan rekod lain pula dicatatkan di Sussex pada tahun 2014 di mana menyaksikan Ross bekerja keras dengan seorang ahli silap mata. Ross dan ahli silap mata itu telah menggabungkan kedua-dua seni dalam satu paparan seni cahaya yang menarik.

Festival Malam Bercahaya ke-13 itu memaparkan seni-seni cahaya yang dihasilkan oleh beberapa tokoh-tokoh seni di negara itu dan dianggarkan lebih daripada 40 seni berasaskan cahaya telah ikut serta dalam pameran tersebut. – AFP

“Kami tahu bahawa ini merupakan satu acara yang sangat berprestij dan persaingan yang sengit dan untuk itu kami sangat gembira untuk mendapatkan komisen yang lebih tinggi.

Kami tidak mahu memberi terlalu banyak tetapi apa yang boleh saya katakan adalah ia akan menjadi cerah dan cepat bergerak,” tambah Ross lagi kepada media.

Pasangan suami isteri itu telah menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk mempersiapkan apa yang akan menjadi paparan selama 10 minit yang berjudul ‘Out of the Aire’ di salah sebuah muzium di negara itu.

Selain itu, Karen juga bekerja keras untuk menekankan beberapa muzik yang sesuai untuk digabungkan bersama dengan setiap lakaran filem yang mereka hasilkan dan kebanyakan lagu-lagu itu berasal dari Leeds.

“Salah satu perkara yang ingin kami lakukan adalah untuk memberikan Leeds tentang sejarahnya tersendiri terutamanya dari segi bunyi iaitu suara orang ramai yang tinggal di bandaraya tersebut,” kata Karen lagi kepada media.

“Leeds sebenarnya dipenuhinya dengan kepelbagaian, dengan populasinya, sejarah dan cerminan budayanya malah kami merancang segalanya dengan satu pandangan bahawa ia harus diterima oleh orang ramai malah sekurang-kurangnya kami ingin memperkenalkan Leeds menjadi salah sebuah destinasi sejarah dan menjadi magnet bagi semua jenis innovator,” tambah Karen mengakhiri temu ramah bersama media. – Agensi