MINDEF benam MOF

MINDEF benam MOF

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Sebanyak 12 perlawanan bola jaring Pesta Sukan Kementerian-Kementerian (PSKK) peringkat kumpulan berlangsung pagi dan petang ini yang turut melibatkan dua finalis tahun lalu, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Kumpulan A mengandungi juara tahun lalu, MOE, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri & Perdagangan (KHELN&P), Kementerian Perhubungan (MOC), Kementerian Pembangunan (MOD) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Berentap dalam Kumpulan B pula adalah naib juara 2014, MINDEF, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dalam aksi seiring bersebelahan gelanggang, MOE jelas berada di tahap berbeza apabila mencapai jaringan tiga digit dalam kemenangan besar 104-7 ke atas MOC, sementara MINDEF melakukan yang cukup untuk terus mencatatkan kemenangan dengan kali ini ke atas MOF dengan jaringan 57-20.

MINDEF (bib putih) dalam aksi kemenangan ke atas MOF dalam aksi bola jaring hari ini.
MINDEF (bib putih) dalam aksi kemenangan ke atas MOF dalam aksi bola jaring hari ini.

Pada aksi kelmarin, MOE mencatatkan kemenangan 72-25 ke atas KHEDN di sebelah pagi dan kemudiannya menang 86-18 ke atas KHELN&P di sebelah petang.

MINDEF pula memulakan kempennya kelmarin dengan menang 76-25 ke atas KPSSU pada sesi pagi sebelum menang 66-37 ke atas KKBS pada sesi petang.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berakhir pagi esok, dengan enam perlawanan iaitu KHEU lawan MOE, JPM lawan MINDEF, KHEDN lawan KHELN&P, KPSSU lawan KKBS, MOC lawan MOD dan MOF lawan MOH.

Perlawanan kemudiannya akan disambung di sebelah petang dengan dua perlawanan separuh akhir bermula dengan Johan Kumpulan A lawan Naib Johan Kumpulan B dan disusuli dengan Johan Kumpulan B lawan Naib Johan Kumpulan A.

Kesemua perlawanan diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Berakas.