Mindset perlu diubah

Mindset perlu diubah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Untuk membina masa depan yang kukuh bagi Negara Brunei Darussalam, minda atau mindset perlu berubah.

“Kita perlu memulakan perubahan dari dalam diri sendiri terlebih dahulu. Perubahan minda kepada yang lebih berkembang atau growth mindset akan membolehkan kita mampu memikirkan cara baru dalam menangani apa jua isu yang dihadapi secara berlainan.”

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar) menjelaskan bahawa sudah tiba masanya pemikiran kita berubah iaitu sama-sama memberi buah fikiran dan mencari jalan penyelesaian apa jua permasalahan yang kita hadapi pada masa ini, bukanlah sentiasa berharap dan meminta-minta kepada kerajaan dalam apa jua hal dan terus-menerus menyuarakan masalah terutamanya melalui media sosial.

“Sebagai misalan, isu sampah yang dibuang di merata-rata tempat baik dalam kawasan bandaran, luar bandar, kawasan-kawasan perumahan dan perindustrian di negara ini. Saya percaya ianya berkait rapat dengan mentaliti, mindset ataupun sikap.

“Pada hemat saya, isu sampah mungkin saja tidak timbul jika setiap individu mempunyai tanggungjawab dan berperanan untuk sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, menganggap atau menyifatkan memelihara kebersihan rumah dan sekitarnya menjadi keperluan dan kewajipan sebagaimana jua rumah memerlukan bekalan air dan elektrik. Isu sampah dapat diatasi atau dikurangkan jika semua orang menganggap memelihara kebersihan rumah dan persekitarannya suatu kemestian atau keperluan hidup.”

pg04_160322_a

Yang Berhormat Pehin juga merujuk kepada pelanggan telefon bimbit di negara ini yang sudah melebihi 500,000, jauh lebih tinggi daripada jumlah penduduk seramai 411,900 orang.

“Jika memiliki telefon bimbit sudah menjadi satu kemestian dan kita mampu berbelanja setiap minggu dan bulan, mengapa kita tidak mahu berbelanja menjaga kebersihan yang kita anggap penting dalam kehidupan bernegara,” tekan beliau semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada hari ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berpendapat bahawa pihak komuniti boleh memikirkan cara menangani pembuangan sampah dengan pendekatan keusahawanan atau entrepreneurial yang sudah setentunya bukan sahaja dapat menjamin alam sekitar yang bersih malahan menjana peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung dan mukim-mukim berkenaan.

“Natijah daripada perkara ini ialah sikap bertanggungjawab. Ada orang yang ingin menyerahkan masalahnya untuk orang lain menyelesaikannya. Ada orang yang ingin dan mengharap kerajaan untuk menyelesaikan masalahnya sedangkan kebersihan adalah suatu yang dituntut oleh agama Islam.”

Isu sampah dibuang merata-rata dapat diselesaikan jika mindset setiap orang berubah.
Isu sampah dibuang merata-rata dapat diselesaikan jika mindset setiap orang berubah.

Menyentuh kepada isu yang lebih besar, iaitu defisit kewangan, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa kekurangan pendapatan negara berikutan keadaan global yang tidak menentu dan sukar diramal, tidak akan dapat diatasi dengan jayanya jika ada orang yang bersikap hanya ingin menyerahkan segala penyelesaiannya atau cara mengatasinya kepada kerajaan sahaja.

Selain itu, daripada aspek kesihatan pula, dengan adanya minda dan tanggungjawab tinggi untuk menjaga kesihatan sendiri, ia sudah setentunya akan dapat membantu setiap individu itu menjadi sentiasa sihat, produktif dan membantu meringankan beban kos penjagaan kesihatan di negara ini.

Sementara itu, Yang Berhormat Pehin menyuarakan persetujuan dengan pandangan ahli-ahli kabinet yang menyatakan bahawa ini bukanlah lagi masanya bagi mempersoalkan apakah kita akan mampu mencapai Wawasan Brunei 2035, tetapi untuk kita bersedia melaksanakannya dan bertanya pula apakah peranan dan sumbangan kita mencapai aspirasi negara.

ARTIKEL YANG SAMA