Mindset positif pacu kecemerlangan

Mindset positif pacu kecemerlangan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Mindset merupakan antara elemen penting untuk menjadi seorang pemimpin yang kompeten dan berkualiti.

Seseorang boleh saja berilmu, berketerampilan dan cemerlang dalam apa jua bidang kursus yang diikutinya, namun tanpa minda mahupun tingkah laku yang positif, ia sudah pasti tidak memberikan apa-apa makna.

“Kita akan gagal untuk melakar apa jua perubahan di tempat kerja. Dengan sentiasa memandang ke hadapan dan berfikir dalam sudut yang positif, seseorang itu, dalam apa pun peringkat ia berada, akan dapat memimpin mereka yang ada di sekitarnya mahupun yang di bawahnya.”

Perkara ini ditekankan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-23 dan Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kerajaan Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-22 dan ke-23 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, petang tadi.

Menurut beliau lagi, minda yang positif itu mampu mempengaruhi tingkah laku dan hasil kerja seseorang itu, ia berupaya untuk meningkatkan prestasi seseorang dan orang sekelilingnya, sentiasa berinovasi dan komited terhadap apa jua tugasan yang diberikan.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta EDPSGO ke-23 dan EDPMMO ke-22 dan ke-23.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta EDPSGO ke-23 dan EDPMMO ke-22 dan ke-23.

Melalui perubahan minda ke arah yang positif, jelasnya, ia akan dapat melahirkan seorang pemimpin berwibawa, berintegriti dan berkualiti yang mampu mengemudi ke arah kecemerlangan perkhidmatan awam.

“Alhamdulillah, melalui pengalaman peramba/saya sendiri selaku ketua penggerak, peramba/saya telah menyaksikan sendiri banyak perubahan positif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan khususnya reformasi-reformasi yang berkaitan dalam bidang pendidikan dan yang juga bersangkutan dengan Ease of Doing Business.

“Ini semua memerlukan perubahan minda kerana jika kita terus mengamalkan mentaliti ‘resistance to change’ dan ‘business as usual’, kita akan sentiasa duduk ditakuk lama malahan akan tertinggal di belakang berbanding pencapaian negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan harapan bahawa melalui program eksekutif ini dan setelah kira-kira lapan minggu mengharungi pelbagai cabaran dari sudut mental dan fizikal, ia akan dapat melahirkan pegawai-pegawai yang benar-benar berkemahiran, berkualiti dan mempunyai nilai kepimpinan tinggi dan pastinya dengan mindset yang positif.

Beliau juga menyeru semua selaku pemimpin di organisasi masing-masing untuk memainkan peranan, sentiasa peka dan bersikap pro-aktif dalam mengkaji dan menilai semula sistem, prosedur dan peraturan yang sedia ada ke arah pembaikan.

“Selaku seorang pemimpin, setentunya abiskita harus mengambil peluang untuk berani memberikan saranan-saranan dan buah fikiran bagi merencana pembaharuan di organisasi masing-masing.

“Jangan takut atau khuatir terhadap penolakan idea, kerana tidak mahu membuat perubahan adalah satu tabiat yang merugikan, bukan saja kepada diri sendiri, malahan merugikan organisasi dan juga negara. Ingatlah, setiap kita ada tanggungjawab masing-masing terhadap pembangunan negara. Biar kecil sumbangan kita sekalipun, tidak mengapa.”

Dalam hubungan ini, ke arah perkhidmatan awam yang sentiasa dinamik dan progresif, tambah beliau, satu rangka kerja perkhidmatan awam atau ‘Civil Service Framework’ ringkasnya CSF, adalah diperlukan.

Selain bagi meningkatkan produktiviti dan mutu kepimpinan dalam perkhidmatan awam, ia juga bagi menggalakkan transformasi dan reformasi bagi penambahbaikan perkhidmatan kerajaan sejajar dengan tuntutan perkembangan serta jangkaan semasa.

Para pihak berkepentingan sentiasa mendambakan kewujudan suasana persekitaran yang pro-perniagaan, dan inisiatif CSF ini bermatlamat untuk menjadikan perkhidmatan awam yang cemerlang ke arah memudah cara pertumbuhan ekonomi bagi kesejahteraan negara.

Ini, jelas Dato Paduka Haji Mohd Roselan lagi, sudah setentunya bertepatan ke arah mendukung hasrat jangka panjang Wawasan Brunei bagi mencapai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan menjelang tahun 2035.

ARTIKEL YANG SAMA