Minggu Anak Damit di KBSentral

Minggu Anak Damit di KBSentral

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Mei – Pusat Membeli-Belah KBSentral kini sedang mengadakan Minggu Anak Damit dan Kanak-Kanak di kawasan atrium pusat berkenaan, yang telah bermula kelmarin hingga 31 Mei.

Acara ini akan memberi peluang kepada para penjual produk anak dan kanak-kanak untuk mempromosikan barangan mereka dan juga memberi peluang kepada ibu bapa yang ingin membeli barang bagi anak-anak mereka di satu tempat.

Pengurus Acara KBSentral, Awang Chan Leang Seng berkata Triple Star Enterprise dan Philips-Avent mempamerkan produk mereka khusus untuk anak damit, kanak-kanak dan ibu bapa.

“Acara ini juga akan menampilkan permainan mini untuk kanak-kanak seperti ‘Monster Toss’, ‘Monster Bowling dan ‘NERF Shooter’ dan terdapat bouncer yang akan beroperasi sepanjang acara,” jelasnya, sambil menambah setiap kupon permainan berharga $3 dengan tanpa had masa.

Menurutnya lagi, pelanggan juga akan diberi kad untuk mengumpul mata bagi mana-mana permainan berkenaan, dan jika pengunjung dapat mengumpul 100 mata bagi setiap permainan, mereka akan menerima hadiah.

Antara syarikat yang mempamerkan produk anak damit dan kanak-kanak.
Antara syarikat yang mempamerkan produk anak damit dan kanak-kanak.

Pada acara itu juga menampilkan sebuah pondok untuk bergambar bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah bersama keluarga mereka dan gambar yang terbaik akan menerima hadiah tajaan Phillip-Avent.

Dalam perkembangan lain, Awang Chan Leang Seng berkata kempen cabutan bertuah kali pertama KBSentral yang baru sebulan berjalan menunjukkan peningkatan, dari segi keramaian pengunjung yang datang untuk sama ada membeli-belah atau pun makan di pusat membeli-belah berkenaan.

“Keramaian ini adalah hasil daripada usaha KBSentral untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung beriadah di sini dan hasil pemasaran kami melalui media sosial, surat khabar, radio dan dari mulut orang ramai, mendapati ia sangat efektif dan laman web sosial Facebook menerima banyak komen-komen daripada orang ramai, dan dari situ kami melihatnya sebagai langkah positif menuju ke arah kejayaan kempen ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pada 31 Mei ini, Jaya Hypermart juga akan mengadakan demonstrasi membuat kuih-muih secara percuma oleh Cef Michael Chin, dan antara yang akan ditampilkan adalah pau kukus, skon dan Macadamia Cookies.

ARTIKEL YANG SAMA