Minggu Bahasa dan Kebudayaan UBD dirasmi

Minggu Bahasa dan Kebudayaan UBD dirasmi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Sejak penubuhannya pada 2001, Pusat Bahasa Universiti Brunei Darussalam (UBD LC), terus berada di barisan hadapan pengajian bahasa di Negara Brunei Darussalam di mana di bawah ijazah GenNEXT, pelajar-pelajar UBD daripada pelbagai latar belakang mengikuti pelbagai kelas bahasa di pusat berkenaan.

Di samping itu, para graduan juga boleh mendapatkan ijazah kecil bagi bahasa-bahasa Borneo termasuk Bahasa Dusun, Tutong dan Iban, jelas Pengarah UBD LC, Profesor Madya Dr. Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman dalam kata alu-aluannya semasa Perasmian Minggu Bahasa dan Kebudayaan UBD yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian minggu bahasa dan kebudayaan itu ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), UBD, Profesor Madya Dr Mohd Ayub Sadiq.

Profesor Madya Dr. Haji Noor Azam juga berkata bahawa pusat itu terus mengetengahkan pendekatannya dalam mengajar bahasa dengan teknologi dan mempromosikan pusat berkenaan sebagai sebuah pusat pembelajaran dan pengajaran bahasa yang terunggul serta menawarkan perkhidmatan bukan sahaja untuk warga UBD tetapi juga kepada pihak-pihak luar yang berminat.

Mengongsi mercu-mercu tanda yang dicatatkan oleh UBD LC, Profesor Madya Dr. Haji Noor Azam berkata, selain menawarkan ijazah kecil bagi Bahasa Borneo, pusat itu juga kini menawarkan ijazah kecil dalam Bahasa Arab, Perancis, Jepun, Korea dan Mandarin yang memerlukan para pelajar untuk menamatkan pengajian bahasa mereka ke peringkat lanjutan yang mempersiapkan bagi kerjaya antarabangsa atau melanjutkan pengajian ke luar negara.

Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq dan Profesor Madya Dr. Haji Noor Azam merasmikan Minggu Bahasa dan Kebudayaan UBD 2016.
Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq dan Profesor Madya Dr. Haji Noor Azam merasmikan Minggu Bahasa dan Kebudayaan UBD 2016.
Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq semasa berada di pameran yang diadakan.
Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq semasa berada di pameran yang diadakan.

Manakala itu, bagi pelajar-pelajar yang ingin untuk mengikuti program ijazah atau program graduan, UBD LC juga menawarkan mereka ujian Bahasa Inggeris alternatif yang boleh mereka duduki selain daripada GCE ‘O’ Level atau IELTS.

Profesor Madya Dr. Haji Noor Azam turut menjelaskan bahawa bermula 2016, UBD LC juga mula menawarkan Peperiksaan TOEFL dan pusat itu merupakan satu-satunya pusat peperiksaan TOEFL di Borneo di mana ia merupakan kelayakan Bahasa Inggeris Antarabangsa yang boleh digunakan untuk memasuki universiti-universiti di seluruh dunia.

Di samping itu, pada penghujung 2015 lalu, ulasnya lagi, UBD LC juga telah menjadi ahli rangkaian SAKURA iaitu sebuah konsortium pusat-pusat Bahasa Jepun global yang ditadbirkan dan disokong oleh Japan Foundation.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengantarabangsaan UBD, UBD LC juga sedang bekerja rapat dengan Faculty of Integrated Technologies (FIT) dan Zejhiang University, China dalam melatih pelajar-pelajar dalam kursus-kursus khas Bahasa Mandarin untuk mempersiapkan mereka bagi pengajian atau kerjaya profesional di China.

Majlis kemudian menyaksikan Profesor Madya Dr. Muhd Ayub Sadiq menyempurnakan perasmian minggu bahasa dan kebudayaan itu serta dibawa untuk menyaksikan pameran-pameran yang diadakan.

Minggu Bahasa dan Kebudayaan UBD 2016 dianjurkan oleh UBD LC bersempena dengan Ulang Tahun UBD ke-30, yang berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 Mac.

Ia dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan mendedahkan lagi budaya-budaya antarabangsa serta menggalakkan orang ramai untuk belajar bahasa-bahasa dunia di mana pameran membawa tema permainan dan keseronokan.

Pameran dan kegiatan yang diadakan sepanjang minggu bahasa dan kebudayaan itu menumpukan kepada kegiatan interaktif dan bermaklumat di mana para pengunjung berpeluang untuk mempelajari bahasa-bahasa baru dengan mengikuti pelbagai kegiatan atau permainan yang diadakan.

Bagi memudahkan para pengunjung, minggu bahasa dan kebudayaan yang mengetengahkan pelbagai bahasa dan budaya terletak di bawah satu bumbung bagi membolehkan para pengunjung untuk memilih kegiatan atau permainan yang diminati mereka.

Acara itu dibukakan bagi kunjungan orang ramai dengan tiada sebarang bayaran dikenakan, dari pukul 10 pagi hingga 4 petang kecuali Jumaat di mana ia hanya dibuka dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Di samping pameran dan permainan, para pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan makanan dan minuman yang dijual oleh penjual-penjual makanan di ruang yang disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA