Minggu Emoji bakal tarik pengunjung

Minggu Emoji bakal tarik pengunjung

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Sept – KB Sentral, pusat membeli-belah di Jalan Maharaja Setia, Kg Mumong A, kini sudah mencapai 90 peratus kadar penyewaan lot-lot kedai apabila dua lagi francais restoran dan sebuah syarikat pembekal telekomunikasi membuka cawangan mereka, di sini.

Pengurus Pemasaran pusat berkenaan, Awang Sim Poh Fatt ketika ditemu bual, mengatakan ketiga-tiga penyewa tersebut adalah Restoran Jolibee, Kedai Kopitiam Killiney dan Progresif Celullar Sendirian Berhad (PCSB) yang akan memulakan operasi mereka dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau lagi, KB Sentral masih menerima banyak pertanyaan mengenai lot-lot yang kosong, akan tetapi pihak pengurusan KB Sentral ingin meletakkan baki 10 peratus berkenaan untuk kedai-kedai pakaian berjenama.

“Kami sentiasa menumpukan perhatian kepada kepelbagaian kedai-kedai yang terdapat di KB Sentral ini dan tujuannya adalah untuk menarik perhatian lebih ramai orang,” ujarnya sambil dan menambah, “Ini terbukti dengan kehadiran lebih 2,000 orang pengunjung dalam masa sehari ketika acara cabutan bertuah yang pertama diadakan baru-baru ini.”

Minggu Emoji akan diadakan bermula 3 September ini di KB Sentral.
Minggu Emoji akan diadakan bermula 3 September ini di KB Sentral.

Sebagai pusat membeli-belah yang berorientasikan kekeluargaan, pihak pengurusan kini merancang untuk mengadakan Minggu Emoji dengan menyediakan enam pondok, iaitu empat daripadanya pondok permainan dan dua lagi pondok untuk mengambil gambar.

“Antara aktiviti yang disusun semasa Minggu Emoji itu nanti, para pengunjung akan berpeluang bergambar bersama ‘emoticon’ pilihan di pondok bergambar yang sediakan,” jelas pengendali acara berkenaan Dayang Yasmin Syahirah binti Mohd Buang.

Permainan ‘Teka Filem Daripada Emoticon’ juga dijangka akan mendapat sambutan daripada kalangan pengunjung. Selain itu, pengunjung boleh juga melayari aplikasi Instagram KB Sentral dan menghantar gambar-gambar ‘Emoticon’ terbaik mereka untuk memenangi pelbagai hadiah. Minggu Emoji akan bermula pada 3 hingga 6 September ini dan sebarang maklumat mengenai Minggu Emoji dan cabutan bertuah bolehlah menghubungi talian 3339889 atau e-mel ke kbsentralmarketing@gmail.com atau mengikuti akaun Facebook KBSentral (KB Sentral Shopping Centre).

ARTIKEL YANG SAMA