Minggu Fesyen Muslimah 28 Ogos ini

Minggu Fesyen Muslimah 28 Ogos ini

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Sebagai usaha mendedahkan dan menggalakkan Muslimah memahami kepentingan menutup aurat, Pengasas Hijab Maryam, Mia Suria akan menganjurkan Minggu Fesyen Islam Brunei (BIFW) pada 28 hingga 30 Ogos ini, di Tingkat 7, GoldStone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.

Acara berkenaan juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pereka-pereka tempatan khususnya fesyen Muslimah yang mementingkan penutupan aurat dan juga memberikan pendedahan awal kepada usahawan tempatan dalam mempromosikan produk-produk berunsurkan Muslimah.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang BIFW itu termasuk forum bersama pereka tempatan dan usahawan berjaya seperti Covered by Aninisa, Mumtaz Collection, Hijab Maryam, ju’niehk, Butik Noor Adlina, Alluyya dan ramai lagi.

Selain itu, ia juga akan diisi dengan ceramah khas yang bakal disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah mengenai ‘Busana Muslimah’ pada 29 Ogos jam 4 petang, diikuti dengan tutorial hijab daripada pereka fesyen Muslimah tempatan.

BIFW ini turut disokong dan ditaja oleh Sari Ayu Martha Tilaar and Aidijuma, yang mana pada hari perasmiannya nanti, Aidijuma akan memberikan cenderahati kepada 100 orang pengunjung pertama pameran tersebut.

Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya Muslimah yang berminat dalam rekaan fesyen Muslimah ini dialu-alukan berkunjung ke minggu fesyen berkenaan yang akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

ARTIKEL YANG SAMA