Minggu Gastronomi tampil hidangan dibalut daun pisang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh penggemar gastronomi tempatan ialah Minggu Gastronomi Brunei yang akan kembali diadakan bermula 23 Februari hingga 11 Mac.

Minggu Gastronomi Brunei dianjurkan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 di mana Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bekerjasama dengan beberapa buah hotel dan restoran di Brunei termasuk syarikat penerbangan, Persatuan Ejen Pelancongan, Persatuan Hotel-hotel Brunei, sekolah-sekolah perkhidmatan serta sektor swasta untuk menjayakan acara yang menyasarkan pengunjung tempatan serta pelawat dari luar negara yang berada di negara ini pada acara berkenaan.

Acara itu bermatlamat untuk meraikan Negara Brunei Darussalam dan menjana kesedaran mengenai makanan Brunei, menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran untuk menyajikan makanan Brunei dengan cara lebih sofistikated, memperbaiki lagi rasa dan mengangkat cara penghidangan makanan Brunei supaya dapat disajikan sebagai pengalaman makanan lebih eksklusif semasa majlis resepsi di dalam dan luar negara serta untuk menyediakan pengalaman gastronomi Brunei yang unik bagi pelawat-pelawat dari dalam dan luar negara.

Salah satu tarikan semasa Minggu Gastronomi Brunei pada 2018 ialah makanan yang dibalut dalam daun pisang atau pelbagai jenis daun lain. Daun pisang digunakan untuk memasak, membungkus dan menyajikan pelbagai jenis makanan di kawasan tropika dan subtropika. Ia menambahkan aroma yang enak kepada makanan dan menambah rasa beberapa jenis makanan.

Masakan dan makanan Brunei yang biasanya dibalut atau dibungkus menggunakan daun pisang ialah pais daging, pais udang, pais ikan dan banyak lagi di mana makanan berkenaan disalai, dipanggang, dikukus atau dimasak dalam ketuhar.