Minggu Kebudayaan Jepun labuh tirai

Minggu Kebudayaan Jepun labuh tirai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Persahabatan dan kefahaman di antara rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan Jepun terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang bahasa dan kebudayaan menerusi penganjuran bersama Minggu Kebudayaan dan Bahasa Jepun yang berlangsung di Times Square, Berakas bermula 18 Mac lalu hingga hari ini.

Sepanjang acara tiga itu, para pengunjung berpeluang untuk menyelami serta memahami budaya dan bahasa unik masyarakat Jepun, jelas Setiausaha Kedua, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Yuki Iida pada hari terakhir acara berkenaan.

Menurutnya lagi, pameran itu bukan sahaja akan mengetengahkan budaya tradisional dan moden Jepun tetapi juga maklumat mengenai pendidikan di Jepun serta program-program pertukaran belia yang disokong oleh kerajaan Jepun.

Terdahulu dari itu, Yuki Iida telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi lukisan Manga terbaik dan tulisan kaligrafi terbaik di mana bagi Manga terbaik, juara ialah Bella yang membawa pulang hadiah berupa dua tiket ke pertunjukan Ultraman dan pelbagai barangan Manga.

Manakala itu, juara bagi pertandingan kaligrafi ialah Awang Radzwan Haji Nasir yang membawa pulang hadiah berupa kamera digital Canon.

Yuki menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan kaligrafi Awang Radzwan.
Yuki menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan kaligrafi Awang Radzwan.
Yuki memberikan penjelasan mengenai pemilihan lukisan-lukisan Manga yang memenangi hadiah pada majlis berkenaan.
Yuki memberikan penjelasan mengenai pemilihan lukisan-lukisan Manga yang memenangi hadiah pada majlis berkenaan.

Pameran anjuran Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Times Square, Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Institute of Brunei Technical Education Continuing Education and Training Division (IBTE-CET), Kementerian Pendidikan, Program Kapal Belia Jepun dan Asia Tenggara (SSYEAP) dan Alumni SSYEAP (BERSATU) itu bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara Brunei dan Jepun serta pada masa yang sama mempromosikan Bahasa Jepun dan peluang-peluang untuk melanjutkan pengajian di Jepun.

Semasa pameran itu, para pengunjung berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi dan gerai pameran bagi Manga iaitu seni lukis kartun Jepun, Ikebana iaitu seni gubahan bunga Jepun, pertunjukan masakan Jepun, kaligrafi, origami iaitu seni lipatan kertas Jepun, Yukata iaitu kimono musim panas Jepun, pertunjukan seni mempertahankan diri Jepun, tarian dan lagu serta kuiz.

Semasa minggu bahasa dan budaya itu, artis Manga Jepun, Manaru Tenkawa yang merupakan seorang artis manga dan pensyarah seni komik dari Nihon Computer Institute membuat demonstrasi khas lukisan manga dan mengadakan dua sesi bengkel khas.

Sementara itu, demonstrasi Ikebana turut dipamerkan oleh guru Ikebana, Risho Saito di mana beliau menunjukkan teknik dan seni gubahan bunga yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung ke pameran itu pada 2015.

Pameran bagi 2016 memberikan tumpuan kepada mempromosikan Bahasa Jepun di mana para peserta pameran itu mengongsi pengalaman mereka belajar di Jepun dan juga akan memperkenalkan pelbagai kegiatan yang dijalankan oleh kelab-kelab Jepun di Universiti Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA