Minggu Kebudayaan Kuwait dilancar

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador At-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan malam tadi berkenan melancarkan Minggu Kebudayaan dan Kesenian Kuwait di Airport Mall, Berakas.

Menjunjung keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashari Al-Thafiri.

TYT Dr. Fahad Mashari dalam sembah alu-aluannya menjelaskan acara kebudayaan itu merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan sejak kemerdekaan negara itu dan penubuhan hubungan dua hala antara Brunei dan Kuwait.

“Acara ini memberikan gambaran mengenai budaya, warisan dan sejarah Kuwait dan dihasratkan menjadi jambatan kerjasama kebudayaan dan menggalakkan pertukaran antara rakyat kedua-dua buah negara, selain memperkenalkan warisan dan budaya Kuwait serta negara ini,” sembahnya.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan melancarkan Minggu Kebudayaan dan Kesenian Kuwait bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Negara Brunei Darussalam.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung berangkat menyaksikan pameran Minggu Kebudayaan dan Kesenian Kuwait.

TYT Dr. Fahad Mashari turut berharap dapat melihat acara sama dengan Brunei Darussalam menjadi hos di negaranya agar rakyat negaranya dapat memahami kebudayaan dan warisan negara ini.

Pada acara itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna turut berkenan meninjau pameran kebudayaan dan warisan Kuwait serta menyaksikan persembahan kesenian.

Minggu Kebudayaan dan Kesenian Kuwait ini akan berlangsung di sepanjang minggu sehingga 17 Mac dengan pelbagai aktiviti telahpun disusun seperti Pameran Kebudayaan Kuwait, Pesta Makanan Kuwait berserta demonstrasi masakan Kuwait, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.