Minggu Keselamatan & Kesihatan JKR 13 Jun ini

Minggu Keselamatan & Kesihatan JKR 13 Jun ini

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Jabatan Kerja Raya (JKR) buat julung-julung kalinya akan mengadakan Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2015 Jabatan Kerja Raya pada 13 hingga 16 Jun 2015 ini di Lobi Ibu Pejabat JKR, Berakas.

Ketua Bahagian Kesihatan Keselamatan Alam Sekitar, Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, JKR, Pengiran Azman bin Pengiran Badaruddin, semasa sidang media mengenai acara berkenaan, menjelaskan ia merupakan salah satu pelan tindakan jabatan untuk meningkat kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan diadakan sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia yang jatuhnya pada 28 April setiap tahun.

Antara objektif-objektif acara berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan dan pekerja-pekerja mengenai kepentingan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja dan di tapak-tapak pembinaan, meningkatkan tahap kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, serta untuk mengurangkan kes kemalangan di tempat kerja.

Menurutnya, pelancarannya akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pada 13 Jun ini.

Menjelaskan mengenai aktiviti sepanjang empat hari acara itu, ia akan diisi dengan sesi-sesi taklimat, daripada JKR, beberapa jabatan lain serta syarikat swasta, dan pameran berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan di tapak pembinaan.

Pengiran Azman (kanan) ketika menerangkan mengenai Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2015 Jabatan Kerja Raya.
Pengiran Azman (kanan) ketika menerangkan mengenai Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2015 Jabatan Kerja Raya.

Pameran berkenaan akan menampilkan kira-kira 20 penyertaan daripada jabatan-jabatan di bawah JKR, syarikat pembekal peralatan keselamatan, penyedia latihan keselamatan dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti juga disediakan untuk orang ramai dan pelajar seperti kuiz dan demonstrasi keselamatan di ruang pameran.

Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2015 JKR ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai, pelajar-pelajar dan sesiapa sahaja yang berminat, yang mana ia akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, kecuali pada hari pelancarannya, dari tengah hari hingga 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA