Minggu Keselamatan & Kesihatan JKR berakhir

Minggu Keselamatan & Kesihatan JKR berakhir

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Izah Azahari

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2015 Jabatan Kerja Raya (JKR), yang berlangsung selama empat hari bermula 13 Jun lalu di Dewan Atria Simpur Bangunan Ibu Pejabat JKR, menutup tirainya hari ini.

Majlis penutup acara berkenaan dihadiri oleh Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah para pengarah, ketua-ketua bahagian, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, JKR, Pengiran Haji Mohd Noordin bin Pengiran Lela Perkasa Pengiran Haji Mohd Said, yang juga pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2015 ini diadakan adalah khusus untuk memberikan pengetahuan, pembelajaran serta meningkatkan kesedaran supaya sama-sama dapat membudayakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bersama rakan sekerja.

Beliau menyatakan harapan agar para pegawai dan kakitangan yang menghadiri sesi-sesi taklimat berkenaan dapat mengongsikan ilmu yang diperolehi bersama rakan-rakan sebaya kerana keselamatan dan kesihatan tempat kerja merupakan aspek penting di dalam sesebuah organisasi dan menjadu tanggungjawab bersama.

Tetamu Kehormat, Haji Amer Hishamuddin (kiri) ketika menyampaikan sijil di jerayawara tersebut.
Tetamu Kehormat, Haji Amer Hishamuddin (kiri) ketika menyampaikan sijil di jerayawara tersebut.

Minggu Keselamatan dan Kesihatan ini merupakan salah satu pelan tindakan jabatan untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan juga sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia pada 28 April setiap tahun.

Sepanjang berlangsungnya acara berkenaan beberapa aktiviti telah diadakan seperti sesi-sesi taklimat, pameran dan demonstrasi yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan di tapak pembinaan.

Di majlis penutup berkenaan, Haji Amer Hishamuddin turut menyampaikan sijil kepada para penceramah dan peserta pameran.

JKR dalam kenyataannya, menyatakan harapan agar hasil daripada program seperti ini akan dapat meningkatkan lagi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dalam kalangan kakitangan jabatannya dan juga kontraktor-kontraktor khususnya di dalam industri pembinaan.

ARTIKEL YANG SAMA