Minggu Kewangan Global disambut hari ini

Minggu Kewangan Global disambut hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kewangan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan akan menyambut Minggu Kewangan Global (GMW) esok (14 Mac) sehingga 19 Mac.

Menurut kenyataan yang diterima daripada AMDB, acara yang dianjurkan oleh Kewangan Antarabangsa Kanak-kanak dan Remaja (CYFI) telah disambut oleh negara ini sejak 2013 yang dikelolakan oleh pihak Jabatan Perkembangan Kurikulum, dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Disambut setiap tahun oleh 118 buah negara seluruh dunia, ia bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan (financial literacy) yang menjadi satu agenda penting bagi AMBD dalam mencapai objektif untuk memastikan kestabilan kewangan negara.

Bagi mengukur tahap celik kewangan di negara ini, Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) pada bulan Januari 2015 telah melaksanakan satu kajian untuk merangka strategi nasional bagi meningkatkan tahap celik kewangan di negara ini.

Hasil kajian tersebut menunjukkan 49 peratus rakyat Brunei tidak menabung secara aktif, dan 34 peratus isi rumah tidak mempunyai bajet.

Berdasarkan dapatan ini, AMBD telah berusaha dengan giatnya untuk meningkatkan celik kewangan dan kesedaran kewangan terutamanya dari aspek membina budaya menabung (savings culture) dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu penerapan nilai-nilai dan pengetahuan celik kewangan ini sangat penting dilaksanakan seawalnya dari peringkat prasekolah membawa ke peringkat pengajian tinggi.

Sehubungan itu, dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa sepanjang minggu GMW ini beberapa aktiviti telah dirancang untuk mencapai tujuan GMW antaranya, pertandingan poster, pertandingan sketsa, lawatan-lawatan ke institusi kewangan, dan taklimat kewangan.

Aktiviti-aktiviti ini melibatkan para pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi.

Semasa acara itu juga, Majlis Penyampaian Hadiah GMW 2016 akan diadakan pada 17 Mac di Theatre Hall, Kementerian Kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA