Minggu Sains meriah

Minggu Sains meriah

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 13 April – Ruang legar Pusat Membeli-Belah KBSentral, hari ini, meriah dengan kunjungan lebih 100 orang murid dari pelbagai sekolah bagi menyaksikan pertunjukan dan pameran sains dari Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dalam acara Minggu Sains.

Minggu Sains anjuran Pengurusan KBSentral dan OGDC yang mengetengahkan beberapa pameran mini dari OGDC seperti ‘Finger Tingler, Link & Unlink, T atau Tree, Balancing Nails, Jacobs Ladder dan Einstein Head’ itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai peranan sains dan teknologi dalam masyarakat serta manfaatnya kepada pertumbuhan ekonomi.

Di samping itu, ia juga menyediakan platform untuk individu yang berbakat dan kreatif untuk mempamerkan bakat mereka dalam bidang sains dan teknologi.

Seorang Penghubung Sains dari OGDC, Awang Allen Justine berkata, Pertunjukan Sains: Sains Magis serta Pameran Puzzles & Illusions menjelaskan sains di sebalik setiap helah, mengajar pelajar bagaimana untuk melakukannya dan memahami sains di sebaliknya.

Pelajar mencuba alatan sains yang dipamerkan di KBSentral.
Pelajar mencuba alatan sains yang dipamerkan di KBSentral.

Beliau mengharapkan lebih ramai lagi pengunjung serta murid-murid sekolah untuk hadir ke pertunjukan sains seterusnya yang akan diadakan pada 15 April ini di tempat yang sama pada pukul 10 pagi hingga 2 petang dan 3 petang hingga 6 petang.

Selain daripada pameran sains tersebut, penampilan watak wira dan kuiz sains juga diadakan untuk memeriahkan majlis tersebut.

Tiket-tiket untuk Pertunjukan Sains oleh Dr Graham Walker boleh dibeli di tingkat bawah Kompleks Membeli-belah KBSentral sehingga 12 April ini.

ARTIKEL YANG SAMA