Minggu Ta’aruf bantu mahasiswa sesuaikan diri

Minggu Ta’aruf bantu mahasiswa sesuaikan diri

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Minggu Ta’aruf sudah tentu akan mendatangkan kesan positif kepada pelajar di mana mereka dapat menyesuaikan diri untuk menjadi mahasiswa dan mahasiswi, tidak lagi sebagai pelajar atau bekas pelajar sekolah menengah.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata demikian ketika merasmikan Minggu Ta’aruf ke-10 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bagi 228 orang mahasiswa-mahasisiwi baru yang memulakan pengajian mereka di universiti itu, pagi tadi.

Dalam ucapannya sempena Minggu Ta’aruf yang bermula hari ini dan berlangsung selama enam hari itu, beliau menyeru agar mahasiswa baru memotivasikan diri untuk mengejar dan memperoleh ilmu, khasnya ilmu yang berteraskan perguruan ugama sampai ke peringkat ijazah doktor falsafah dan mereka haruslah berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengalaman untuk layak ke peringkat tersebut.

“Cara hidup pada masa ini dan pada masa-masa yang akan datang dengan pergantungan kepada teknologi memerlukan ilmuan dalam disiplin agama yang mantap ilmu dan matang pengalamannya. Saya harap awda dan sekalian yang berkenaan di KUPU SB ini akan sentiasa memberi perhatian kepada aspek yang mencabar ini,” kata Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

“Adalah sangat penting bagi kita berusaha meningkat serta mengukuhkan lagi relevansi agama menerusi peningkatan pelajaran dan pendidikan agama daripada peringkat persekolahan agama dan persekolahan aliran Arab membawa ke peringkat universiti supaya ugama bagi negara kita Brunei Darussalam ini akan kekal menjadi pedoman yang bermakna dalam kehidupan berbangsa dan negara,” tegas Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin yang hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin yang hadir selaku tetamu kehormat.
Haji Mohd Syahiran semasa menyampaikan ucapan.
Haji Mohd Syahiran semasa menyampaikan ucapan.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Abang Haji Hazmin bin Abang Haji Taha; Pemangku Pendaftar KUPU SB, Pengiran Anak Damit Haji Baharuddin bin Pengiran Anak Safiuddin dan juga para jemputan lainnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Asma Ul-Husna beramai-ramai dan juga bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti dengan ucapan alu-aluan Dekan Pelajar KUPU SB, Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian.

Menurut beliau, signifikan Minggu Ta’aruf ini diadakan adalah sebagai komitmen warga KUPU SB untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan memberikan pengisian-pengisian terkini kepada mahasiswa baru sebaik sahaja mereka mengikuti pengajian di kolej ini.

Minggu Ta’aruf ini, jelasnya, berfungsi untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar baru tentang kehidupan dan budaya pembelajaran dalam mempersiapkan diri mereka agar mereka dapat menyesuaikan diri di kolej tersebut.

Bacaan ikrar mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB Pengambilan ke-10 sesi 2016/2017.
Bacaan ikrar mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB Pengambilan ke-10 sesi 2016/2017.

pg03_160726_f

pg03_160726_d

Ia juga bertujuan untuk memperkenalkan budaya hidup di KUPU SB dalam konteks kemahiran mengurus masa di samping meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab mematuhi peraturan KUPU SB.

Haji Mohd Syahiran berharap, melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi baru akan dapat mendapat manfaat tentang perjalanan pembelajaran di kolej berkenaan khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal akademik dan juga hal ehwal pelajar.

Selepas ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Pehin majlis diikuti dengan bacaan ikrar oleh mahasiswa-mahasiswi KUPU SB Pengambilan ke-10 sesi 2016/2017 yang dipimpin oleh pelajar daripada jurusan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, Awang Mohd Ali Wafiuddin bin Haji Osman.

Antara program-program yang ditawarkan bagi mahasiswa dan mahasiswi baru ini ialah Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana Perguruan Ugama, Sarjana Muda Perguruan Ugama, Diploma Tertinggi Perguruan Ugama dan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah.

Minggu Ta’aruf KUPU SB ke-10 merupakan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB bersama dengan Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar KUPU SB.

ARTIKEL YANG SAMA