Minggu Tradisi dan Warisan Brunei bermula

Minggu Tradisi dan Warisan Brunei bermula

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Ogos – Pusat Membeli-Belah KBSentral dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Silat Brunei, Persatuan Seni Warisan Pelangi Mukim Liang, Institut Kemuda cawangan Belait, Butik Sutera Indah, Pelamin Indah dan majlis-majlis perundingan kampung akan menganjurkan Minggu Tradisi dan Warisan Brunei bermula esok (4 Ogos).

Acara yang akan berlangsung selama tiga hari itu antara lain bertujuan untuk membentuk peluang bagi perhubungan kebudayaan dan sosial, bagi sama-sama menghargai dan mempromosikan tradisi dan warisan budaya di negara ini.

Dalam masa yang sama untuk mempromosikan KBSentral sebagai sebuah tempat kunjungan membeli-belah yang unggul di daerah ini bagi pengunjung yang perlu membeli-belah, menjamu selera dan juga menonton wayang.

Antara pengisian acara yang akan berakhir pada 7 Ogos itu termasuklah pameran permainan tradisi, pertunjukan muzik tradisional, persembahan silat dan tarian tradisi, serta pelbagai acara sampingan seperti aktiviti mewarna, menjawab kuiz yang berkaitan dengan warisan dan tradisi negara dan sebagainya.

Dijangka akan turut menjadi tumpuan pengunjung nanti ialah tunjuk cara menumpah Ambuyat, pertandingan makan Ambuyat, pameran buah-buahan tempatan, pameran pakaian tradisional dan juga pameran Satu Kampung Satu Produk di samping banyak lagi acara yang menghiburkan.

Pelancaran acara berkenaan akan diadakan esok kira-kira pukul 2 petang.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke KBSentral bagi merebut peluang dalam sama-sama menambahkan lagi pengetahuan dan peluang menyaksikan pelbagai pameran yang disediakan nanti.

ARTIKEL YANG SAMA