Mini Karnival Jabatan Penerangan diteruskan di Daerah Tutong

Mini Karnival Jabatan Penerangan diteruskan di Daerah Tutong

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Azaraimy HH

TUTONG, 26 April – Daerah Tutong menjadi destinasi seterusnya Mini Karnival sempena Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-64 tahun yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Petani Mall, Tutong.

Pelancarannya telah diadakan pagi tadi dan dihadiri oleh Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Pelbagai program dan aktiviti disusun sepanjang mini karnival berkenaan antaranya, kuiz penerangan, kuiz kenegaraan, kuiz Unit Hal Ehwal Antarabangsa (UHEA), peraduan warna-warni Mini Karnival Jabatan Penerangan, Instagram Hunt, meneka bilangan naskah Pelita Brunei, Mini Fotorace dan lain-lain lagi.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat terkini mengenai aktivit-aktiviti yang dijalankan di mini karnival itu, boleh mengikuti akaun Instagram Jabatan Penerangan iaitu @infodept.bn dan #infodeptbn64.

Awang Mawardi bersama warga Jabatan Penerangan ketika di mini karnival tersebut.
Awang Mawardi bersama warga Jabatan Penerangan ketika di mini karnival tersebut.
Sebahagian pelajar diberikan penerangan ketika mengunjungi karnival tersebut.
Sebahagian pelajar diberikan penerangan ketika mengunjungi karnival tersebut.

Jabatan Penerangan ditubuhkan pada 1 April 1952 dan dahulunya dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan, yang antara lain berperanan memupuk dan memelihara semangat cintakan raja dan negara, mengendali pengurusan dan ehwal hubungan dengan media serta mengendali aktiviti publisiti dan promosi bagi acara-acara kebesaran.

Jabatan ini juga menerbitkan Pelita Brunei selaku akhbar rasmi kerajaan setiap Isnin, Rabu dan Sabtu.

Sementara itu, orang ramai boleh melayari Pelita Online setiap hari melalui www.pelitabrunei.gov.bn untuk mengetahui berita-berita harian.

ARTIKEL YANG SAMA