Minoriti Rohingya menjadi mangsa tragedi bot karam

Minoriti Rohingya menjadi mangsa tragedi bot karam

YANGON, 20 April (AFP) – Mereka yang menyaksikan sebuah bot karam yang mengorbankan kira-kira 20 orang termasuklah kanak-kanak berkata para mangsa adalah dari minoriti Islam Rohingya yang ditindas dan mengatakan tragedi itu berpunca dari pengetatan yang memaksa mereka melakukan perjalanan melalui laut.

Kira-kira 21 orang, termasuklah sembilan orang kanak-kanak, terbunuh selepas sebuah bot yang sarat muatan terbalik di perairan berombak kelmarin, ketika ia menghampiri Sittwe, bandar negeri Rakhine, menurut PBB.

Kebanyakan penumpang adalah penduduk Sin Tet Maw di bandar Paukaw, tempat bagi anggota minoriti Rohingya Islam yang lari dari rumah mereka kerana pertempuran keganasan perkauman.

“Kemalangan bot itu berlaku kerana pengangkutan tidak selamat. Kami tidak boleh menggunakan pengangkutan langsung iaitu melalui darat untuk pergi ke Sittwe untuk membeli ubat dan barangan,” aktivis Rohingya Kyaw Hla Aung, memberitahu AFP dari Sittwe.

Para penumpang dalam bot itu telah menerima kebenaran khas untuk membuat perjalanan dengan bot menuju pasar di Sittwe dari Paukaw – perjalanan melalui kuala sungai luas kemudian menyusur beberapa kilometer sekitar pantai menuju bandar itu.

Rohingya terpaksa hidup dalam keadaan seperti aparteid sejak kekacauan antara penganut Buddha dan Islam yang mengorbankan beratus-ratus orang pada tahun 2012.

Pergerakan dan kemudahan mereka kepada perkhidmatan, termasuklah penjagaan kesihatan teruk diketatkan oleh pihak berkuasa di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Para aktivis berkata dia telah menghitung 22 mayat di Sittwe dan mereka kesemuanya adalah orang Rohingya.

Seorang lagi lelaki Rohingya, Tin Hla yang juga tinggal di tempat itu yang dihuni oleh 1,500 orang, berkata anak lelakinya tidak dapat dikesan daripada kalangan para penumpang bot itu.

“Apabila kami perlu ke Sittwe, kami terpaksa pergi ke sana dalam cara yang tidak selamat (melalui laut),” katanya dengan menambah kata dia bimbang keadaan buruk berlaku pada anaknya dan terpaksa pergi ke Sittwe untuk mencari mayatnya.