Minta FIFA beri jaminan keselamatan

Minta FIFA beri jaminan keselamatan

SEPANG, 15 Okt – Wisma Putra dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perlu memberi jaminan venue perlawanan antara Malaysia menentang Palestin di Stadium Antarabangsa Dora di Hebron, Palestin pada 12 Nov ini, adalah selamat.

Jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata soal keselamatan adalah perkara paling penting bagi pasukan negara dalam menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu, dan mahu perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali.

“Mengikut jadual, perlawanan seterusnya, kita akan bermain di Palestin. Soal keselamatan paling mustahak. Kita perlu jaminan daripada FIFA secepat mungkin.

“Saya difahamkan perlawanan antara Arab Saudi dan Palestin juga tidak akan diadakan di Palestin (perlawanan yang dijadual esok itu akan berlangsung di Jordan).

“Perkara ini demi keselamatan pemain dan pegawai yang terlibat nanti,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Pada masa ini, situasi di Palestin adalah membimbangkan berikutan pencerobohan tentera Israel di negara berkenaan.

Mengenai perlawanan menentang Palestin, Kim Swee berharap skuad negara dapat menampilkan aksi terbaik untuk berada dalam kedudukan tiga pasukan terbaik dalam Kumpulan A.

“Peluang masih terbuka. Kita lupakan Piala Dunia seketika, tetapi fokus untuk layak ke Piala Asia,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA