Minum air kelapa muda ketika musim panas – Pakar Dietetik

Minum air kelapa muda ketika musim panas – Pakar Dietetik

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) – Orang ramai disaran agar meminum air kelapa muda ketika cuaca panas sekarang.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata ini kerana ia mampu mengembalikan suhu badan peminumnya kepada paras normal.

“Air kelapa muda mengandungi elektrolit yang boleh membantu mengembalikan ion tubuh yang hilang akibat proses dehidrasi ekoran cuaca panas.

“Selain itu air kelapa muda sangat tinggi dengan kandungan potassium, klorida, magnesium, kalsium, sodium serta vitamin B komplek yang mampu mengawal tekanan darah, merendahkan kekejangan otot serta menaikkan selera makan dan minum ketika musim panas.

“Untuk lagi bagus, elak daripada mengambil air kelapa yang dicampur dengan gula. Beli sebiji kelapa muda yang belum dipotong dan minum airnya yang segar,” katanya kepada Bernama.

Ridzoni berkata di samping meminum air kelapa muda, meminum air buah-buahan juga adalah antara tindakan yang baik untuk kekal bertenaga dan sihat sepanjang hari. Beliau berkata air buah-buahan mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potassium dan fruktosa (gula semula jadi buah) yang berperanan sebagai bekalan tenaga dalam badan.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk meminum sekurang-kurangnya 2.5 liter air kosong bersamaan atau 10 hingga 12 gelas sehari.

Menstabilkan cecair dalam badan adalah perkara yang amat penting lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang amat panas dan kering, katanya.

Cuaca panas akan memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia ekoran berlakunya proses dehidrasi yang cepat sekali gus ia boleh memberi kesan kesihatan seperti diserang strok haba yang boleh membawa maut, tambahnya.

Dalam mengamalkan corak makanan yang baik ketika menghadapi musim panas, Ridzoni menyarankan agar orang ramai mengamalkan menepati masa makan seperti sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam kerana makanan juga boleh menyumbangkan sebahagian kepada jumlah cecair kepada badan.

Beliau berkata dalam cuaca panas sekarang, orang ramai juga perlu banyak memakan nasi lembut atau nasi bubur bagi meningkatkan jumlah kuantiti air dalam badan mereka selain mengambil ulam-ulaman untuk meningkatkan pelbagai mikronutrien dalam badan yang boleh membantu menggantikan makronutrien yang hilang akibat perpeluhan.

ARTIKEL YANG SAMA