Minyak Asia merosot 6.0 peratus

Minyak Asia merosot 6.0 peratus

SINGAPURA, 24 Jun (AFP) – Harga minyak dunia pada 2016 merosot lebih daripada 6.0 peratus di Asia hari ini setelah keputusan awal pengundian bersejarah menunjukkan Britain bertindak untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

Minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada Ogos merosot $3.11, atau 6.21 peratus, pada $47.00 pada kira-kira 0357 GMT. Minyak mentah Brent untuk Ogos merosot $3.14, atau 6.17 peratus, pada $47.77.

Harga masih turun naik tatkala pasaran kewangan global dalam keresahan mengenai pengundian, yang dikatakan oleh penganalisis mungkin memberi kesan teruk di luar Britain.

Ramalan oleh BBC, ITV dan Sky News dengan hampir kesemua keputusan dikira menunjukkan Britain telah mengundi untuk meninggalkan EU.

Dengan 304 daripada 382 keputusan dikira, Brexit mendahului pada 52 peratus selepas referendum semalam.

Beberapa pemimpin dunia telah mengingatkan bahawa pengeluaran Britain, atau Brexit, daripada EU akan membawa kepada kemelesetan dengan kesan sampingan global.

“Sekarang sudah tiba masa ketidakstabilan, satu pengundian untuk Brexit mungkin membawa risiko besar kepada pasaran,” kata penganalisis CMC Markets Margaret Yang.

“Itulah sebabnya kenapa bank dan firma pembrokeran telahpun mengambil langkah berjaga-jaga, menjangkakan risiko dan kesan yang mungkin dibawa oleh Brexit kepada pasaran.”

Bernard Aw, seorang penganalisis dengan IG Markets di Singapura, berkata sebahagian daripada sebab kemerosotan dalam harga minyak adalah pengukuhan dolar, yang dilihat sebagai tempat selamat dalam masa ketidakpastian.