Minyak dijangka AS$35-45 setong

Minyak dijangka AS$35-45 setong

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) – Affin Hwang Investment Bank Bhd menjangka Brent, penanda aras minyak mentah global, berada pada purata antara AS$35 hingga AS$45 setong sehingga 2018.

Affin Hwang Investment dalam nota penyelidikan hari ini berkata anggaran itu sejajar dengan unjuran US Energy Information Administration (EIA) yang menganggarkan harga minyak mentah Brent berada pada purata AS$34/setong tahun ini dan AS$40/setong tahun depan.

Firma penyelidikan tersebut berkata unjuran EIA itu didorong oleh jangkaan penawaran tinggi daripada pengeluaran bukan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang mampu bertahan kepada harga rendah lebih daripada dijangkakan dan unjuran permintaan rendah berikutan prospek ekonomi lemah.

Ia juga percaya harga minyak mentah global akan dikekang oleh simpanan inventori yang besar dan sebarang kenaikan seterusnya harga akan membawa kepada tindak balas ketara daripada pengeluar minyak syal AS.

Bagaimanapun Affin Hwang berkata, EIA mengunjurkan pengeluaran bukan OPEC turun sebanyak 400,000 tong sehari tahun ini disebabkan terutamanya penurunan pengeluaran minyak syal AS.

“Pengeluaran Bukan-OPEC dijangka susut lagi sebanyak 500,000 tong sehari minggu depan dibantu oleh penurunan pengeluaran di AS dan Laut Utara.

“Penurunan pengeluaran bukan-OPEC dijangka membantu mengimbangi penawaran akan datang minyak dari Iran, yang membawa kepada unjuran pertumbuhan pengeluaran global 700,000 tong sehari tahun ini dan 300,000 tong sehari tahun depan,” kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Affin Hwang Investment berkata penggunaan petroleum global dan cecair lain diunjur meningkat sebanyak 1.1 juta tong sehari tahun ini dan 1.2 juta tong sehari tahun depan, dipacu terutamanya daripada jangkaan pertumbuhan permintaan di AS, Timur Tengah, Afrika, China dan India.

Ia berkata pertumbuhan tinggi penggunaan akan memperlahankan pertumbuhan inventori global yang diunjur meningkat sebanyak 1.6 juta tong sehari tahun ini dan 600,000 tong sehari tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA