Minyak melebihi AS$40

Minyak melebihi AS$40

SINGAPURA, 22 Mac – Harga minyak meneruskan kenaikan mereka di Asia hari ini, kekal melebihi AS$41 satu tong, tatkala OPEC menambah harapan pemulihan akan berlaku dan mengumumkan satu mesyuarat pengeluar utama pada April.

Pada kira-kira 0600 GMT, minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran pada Mei, kontrak baru, naik 20 sen kepada AS$41.72. Minyak mentah Brent adalah 17 sen lebih tinggi pada AS$41.71.

Setiausaha Agung Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum Abdalla El-Badri berkata di Vienna semalam bahawa 15-16 negara akan mengadakan rundingan mengenai had maksimum pengeluaran di Doha pada 17 April, tetapi beliau tidak tahu sama ada Iran akan menyertai, lapor Bloomberg News.

El-Badri juga berkata beliau berharap harga telah “mencecah tahap paling rendah,” menambah beliau menjangka minyak mentah melihat pemulihan “sederhana” dan bukannya mencecah tahap tinggi.

Mesyuarat itu akan menyusuli rundingan pada bulan lalu di antara Qatar, Rusia, Arab Saudi dan Venezuela di mana mereka mencadangkan satu perjanjian untuk membeku pengeluaran minyak pada tahap Januari.

Namun penganalisis CMC Markets Michael McCarthy berkata peniaga tidak menjangka banyak daripada mesyuarat Qatar.

“Saya akan berasa terkejut jika ramai orang dalam pasaran minyak menaruh harapan untuk mesyuarat ini,” beritahunya kepada AFP.

“Tahap kepercayaan yang diperlukan untuk memujuk begitu banyak negara dan syarikat berlainan untuk mengawal pengeluaran mereka, saya tidak fikir ia wujud. Sementara ia mungkin menambah suasana pasaran kepada syarikat, saya tidak fikir ia adalah penjana utama.”

Iran telah berkata ia tidak akan menyertai usaha itu sehingga pengeluaran minyak mentahnya sendiri mencecah tahap sebelum sekatan sebanyak 4.0 juta tong sehari, kira-kira dua kali ganda daripada pengeluarannya sekarang.

WTI meningkat pada minggu lalu melebihi AS$40 untuk kali pertama sejak Disember, dirangsang oleh kemerosotan mendadak dalam dolar yang pada umumnya menjadikan minyak mentah kurang mahal. Perasaan optimistik baru bahawa pengeluar akan mencapai satu perjanjian untuk membeku pengeluaran turut merangsang harga. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA