Minyak meningkat, pengeluaran AS menurun

Minyak meningkat, pengeluaran AS menurun

SINGAPURA, 3 Mac (AFP) – Harga minyak terus naik dalam perniagaan Asia hari ini meskipun pertambahan dalam inventori AS, dengan peniaga berharap rundingan di kalangan pengeluar utama akan membawa kepada had maksimum pengeluaran.

Menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), pengeluaran minyak merosot kepada sembilan juta tong sehari pada minggu sehingga 26 Februari walaupun inventori meningkat 10.4 juta.

Pada kira-kira 0600 GMT, minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada April naik 13 sen pada $34.79 satu tong sementara Brent untuk hantaran Mei naik tujuh sen pada $37.00 satu tong.

Penganalisis pelaburan Phillip Futures Daniel Ang memberitahu AFP kemerosotan dalam pengeluaran AS memberikan ‘rangsangan’ dalam pasaran.

“Berdasarkan pertambahan ini, kami boleh melihat lebih banyak kemerosotan dan pada akhir tahun kemerosotan 500,000 tong sehari.”

Rancangan oleh pengeluar minyak utama termasuk Rusia serta anggota OPEC yang dipimpin oleh Arab Saudi untuk mengehadkan pengeluaran juga telah memberikan sokongan untuk harga sejak dua minggu lalu.

Minyak mentah, yang pada Januari mencecah tahap rendah 13-tahun di bawah $30 satu tong – terjejas oleh pengeluaran berlebihan dan kemelesetan bekalan – telah meningkat baru-baru ini tatkala peniaga berasa bersemangat dengan khabar terdapatnya rundingan.

Namun penganalisis meragui ia akan memberi kesan ke atas harga minyak mentah dalam jangka pendek, yang 70 peratus kurang daripada tahap tinggi pertengahan 2014 mereka.