Minyak mentah AS naik di Asia

Minyak mentah AS naik di Asia

SINGAPURA, 31 Mei – Minyak mentah AS naik di Asia hari ini tatkala pelabur menunggu data pengeluaran dari China dan sebelum mesyuarat OPEC mengenai had pengeluaran pada minggu ini.

Peniaga menjangka data pengeluaran China keluar esok untuk menentukan dasar pada pertengahan minggu, dengan jumlah berkurangan selepas pasaran kewangan AS dan UK ditutup untuk cuti umum.

China adalah pengguna minyak terbesar di dunia, maka mana-mana petunjuk yang menandakan prestasi ekonominya bertindak sebagai penjana utama untuk harga minyak.

“Jika nombor adalah positif, ia harus membantu harga kerana China adalah salah satu penjana untuk komoditi itu,” beritahu peniaga Pasaran CMC Alex Wijaya kepada AFP.

“Pasaran utama ditutup semalam, maka tidak terdapatnya penjana untuk harga. Hari ini ia agak lengang juga.”

Pada kira-kira 0700 GMT, minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran pada Julai, naik 26 sen pada AS$49.59 satu tong. Minyak mentah Brent North Sea untuk Julai merosot 12 sen pada AS$49.64.

Harga minyak merosot semalam selepas komen daripada ketua bank pusat AS Janet Yellen yang mencadangkan kadar faedah mungkin naik tidak lama lagi jika ekonomi utama dunia terus meningkat pulih.

Jangkaan kenaikan kadar AS mendesak dolar meningkat, sekali gus menjejas minyak yang dijual menggunakan mata wang dolar dengan menjadikannya lebih mahal untuk pembeli dengan mata wang yang lebih lemah serta menjejas permintaan.

Namun WTI berjaya mencatat pemerolehan hari ini sebelum mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di Vienna pada 2 Jun.

Perhimpunan beberapa pengeluar terbesar dunia sentiasa diawasi ketat oleh peniaga minyak, tetapi tidak ramai yang menjangkakan satu perjanjian untuk mengehadkan pengeluaran akan dicapai selepas usaha yang sama menemui kegagalan pada April. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA