Minyak naik dengan jangkaan kenaikan faedah AS

Minyak naik dengan jangkaan kenaikan faedah AS

NEW YORK, 19 Nov (AFP) – Harga minyak dunia naik kerana peniaga mengambil kira peningkatan kecil dalam inventori AS serta laporan Rizab Persekutuan (Fed) yang mengesahkan jangkaan sebelum ini kadar faedah akan dinaikkan pada Disember ini.

Kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Disember naik lapan cents kepada AS$40.75 setong dalam dagangan di sini, manakala kontrak global Brent North Sea untuk penghantaran Januari naik 57 cents kepada AS$44.14 pada penutupan di London.

Data dikeluarkan Jabatan Tenaga AS masih menunjukkan peningkatan inventori di negara pengguna minyak terbesar dunia itu, tetapi jumlah peningkatan adalah lebih kecil.

pg19_151120_b

Inventori minyak mentah naik sebanyak 300,000 tong kepada 487.3 juta tong pada minggu berakhir 13 November, masih paras tertinggi pada tahun ini, tetapi peningkatan stok masih jauh di bawah unjuran sebanyak dua juta tong.

Berbanding tempoh sama tahun lalu, stok pada tahun ini meningkat 28 peratus. “Harga minyak secara asasnya tidak berubah.

Inventori meningkat rendah daripada jangkaan, tetapi peniaga juga mungkin sudah mula mengambil kira faktor penyusutan inventori,” kata Thomas Nichols, penganalisis daripada Moody’s Analytics.

Dalam dagangan semalam, WTI jatuh ke bawah AS$40 setong sebaik saja data itu dikeluarkan, paras terendah sejak Ogos, sebelum melantun semula.