Minyak sawit alternatif terbaik

Minyak sawit alternatif terbaik

MANILA, 6 Ogos – Minyak sawit merupakan alternatif terbaik untuk menampung keperluan minyak dan lemak di Filipina, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Beliau berkata kemusnahan tiga juta pokok kelapa dalam bencana taufan baru-baru ini telah menjejaskan bekalan minyak kelapa yang menjadi sumber utama minyak dan lemak bagi negara itu.

“Kebolehsediaan berterusan minyak sawit disebabkan tanamannya sentiasa ada sepanjang tahun turut menjadi potensi besar untuk menampung kekurangan makanan dunia pada kos yang rendah dan berhasil tinggi.

“Manfaat kesihatan yang tidak dapat dipertikaikan memberi nilai tambah kepada minyak sawit,” katanya dalam ucaptama pada Seminar dan Pameran Dagangan Minyak Sawit Filipina (POTS Filipina) 2015 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Uggah berkata golongan muda yang mewakili bahagian paling besar daripada 100 juta rakyat Filipina tidak hanya menjadi momentum kepada pertumbuhan ekonomi dan pengeluaran negara itu malah turut mewujudkan permintaan pengguna yang tinggi termasuk bagi minyak dan lemak.

“Ini meletakkan minyak sawit sebagai minyak utama digunakan di Filipina, diikuti minyak kelapa buatan tempatan, dan menyumbang 54 peratus daripada keseluruhan penggunaan kesemua minyak dan lemak. Dari segi minyak sawit Malaysia, negara mengeksport kira-kira 494,000 tan metrik ke Filipina pada 2014. Daripada jumlah itu, olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) adalah eksport minyak sawit terbesar iaitu 434,000 tan metrik, menunjukkan pertumbuhan dalam sektor makanan dan sektor pengguna isi rumah,” kata Uggah.

Katanya produk sawit lain yang dieksport ke Filipina termasuk minyak isirong kelapa sawit, oleokimia dan produk akhir seperti lelemak dan lemak sayur. Sementara itu, mengulas mengenai POTS Filipna 2015, Wan Mohammad Khair-il berkata seminar itu bermatlamat memperkasa hubungan perniagaan antara dua negara dan memperluas kerjasama dalam kalangan penggiat industri minyak dan lemak.

Beliau berkata penggiat industri minyak sawit terkemuka Malaysia turut menyertai seminar itu untuk bertemu pengguna minyak sawit berpotensi dan sedia ada di Filipina dari pelbagai sektor, yang mahu membangunkan hubungan perniagaan yang berjaya.

POTS Filipina 2015 yang bertema “Meningkatkan Keperluan Minyak dan Lemak Filipina Melalui Minyak Sawit Malaysia” merupakan anjuran bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia dan MPOB.

Acara dua hari bermula hari ini, merupakan kali kedua diadakan di Filipina selepas pada 2012.Industri minyak sawit di Malaysia adalah komponen keempat terbesar bagi ekonomi semasa negara, memberi pekerjaan langsung kepada lebih 600,000 orang penduduk, termasuk kira-kira 300,000 pekebun kecil. – Bernama