Minyak sawit rangsang dagangan M’sia-Korea

Minyak sawit rangsang dagangan M’sia-Korea

SEOUL, 3 Mei (Bernama) – Minyak sawit dan produk berkaitan keluaran Malaysia adalah tonggak utama yang akan merangsang perdagangannya dengan Korea Selatan, kata Duta Besar Malaysia ke republik itu, Datuk Rohana Ramli.

Beliau berkata nilai import keseluruhan minyak sawit Malaysia oleh Korea Selatan tumbuh 53.62 peratus daripada AS$236.5 juta pada 2010 kepada AS$363.3 juta pada 2014.

“Import Malaysia dari Korea Selatan pula kebanyakannya melibatkan produk elektrik dan elektronik serta produk besi dan keluli manakala eksport ke Korea Selatan merangkumi produk galian bukan logam, makanan diproses dan komoditi termasuk getah mentah dan minyak sawit,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan alu-aluan pada Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Korea Selatan (POTS), di sini, hari ini.

Menurut statistik terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport produk sawit ke Korea Selatan pada 2014 merangkumi minyak sawit, minyak isirung sawit, kek isirung sawit, oleokimia, produk akhir seperti lelemak dan marjerin, biodiesel dan produk berasaskan sawit lain, dengan nilai keseluruhan AS$491.2 juta, meningkat daripada AS$434.8 juta pada tahun sebelumnya.

Eksport minyak sawit Malaysia ke Korea Selatan pada 2014 meningkat kepada 374,091 tan bernilai AS$281 juta, daripada 353,843 tan bernilai AS$240.6 juta pada 2013.

Rohana berkata skop dan volum perdagangan antara Malaysia dan Korea Selatan, terutama bagi minyak sawit dan produk berkaitan, boleh terus dipertingkat menerusi acara seperti POTS dan promosi pemasaran selain kerjasama ekonomi di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Korea serta gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur Malaysia.

FTA ASEAN-Korea yang berkuat kuasa pada 2007 bertujuan menggalakkan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan menerusi penurunan halangan tarif dan liberalisasi perdagangan dalam perkhidmatan, dengan tarif dikurangkan kepada sifar bagi kebanyakan produk menjelang 2010, melibatkan perdagangan antara Korea Selatan dan enam negara ASEAN utama iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur Malaysia diperkenalkan pada 2012, susulan Dasar Pandang ke Timur pertama yang diperkenal oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bertujuan memperkukuh hubungan politik dan ekonomi dengan negara-negara Asia Timur iaitu Jepun dan Korea Selatan.

Gelombang kedua ini akan menumpukan kepada Program Transformasi Ekonomi Malaysia dan Ekonomi Kreatif Korea Selatan.

“Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak beberapa tahun lalu juga merupakan faktor pendorong perdagangan antara Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA