Mirandes lakar kejutan singkir Deportivo

Mirandes lakar kejutan singkir Deportivo

MADRID, 13 Jan (Reuters) – Pasukan divisyen dua, Mirandes mengejutkan Deportivo La Coruna apabila menyingkirkan pasukan itu dalam saingan Piala Raja Sepanyol semalam dan Sevilla turut menyertai mereka mara ke suku akhir selepas menewaskan Real Betis.

Mirandes seri pada pusingan pertama 16 terbaik di Estadio Municipal de Anduva di Miranda de Ebro dan dua gol Daniel Provencio serta satu menerusi Abdon Prats dalam perlawanan timbal balik semalam memastikan kemenangan 3-0 sekali gus mara dengan agregat 4-1.

“Kami tahu ia adalah perlawanan yang besar bagi kami dan kami yakin akan memperoleh keputusan yang bagus,” kata Provencio mengenai pasukannya yang kali terakhir melangkah ke separuh akhir pada 2012 sebelum tewas kepada naib juara, Athletic Bilbao.

“Ia tidak berapa penting siapa lawan kami dalam undian pusingan selepas ini,” kata bekas pemain tengah Rayo Vallecano itu. “Kami mempunyai senjata kami sendiri dan trofi ini adalah satu bonus.”

Deportivo, yang dibelasah Real Madrid 5-0 dalam aksi La Liga hujung minggu lalu dikutuk peminat sendiri apabila pasukan itu tewas kepada lawan yang selama ini berada di divisyen empat selama sedekad dan tidak pernah bermain dalam divisyen teratas.

Ia adalah tamparan hebat buat kelab itu yang seri 2-2 menentang juara Eropah, Barcelona dalam La Liga bulan lalu dan berada di tempat kesembilan dalam kempen kali ini.

“Mereka adalah pasukan yang sangat bagus, kuat dan mereka bermain sangat baik,” kata pemain tengah Deportivo, Alejandro Bergantinos. “Kami perlu lihat apa yang salah dan memastikan ia tidak berlaku lagi dalam liga.”

Sevilla membuktikan kekuatan mereka apabila menang 2-0 di Betis minggu lalu dan kejayaan 4-0 dalam perlawanan timbal balik di Sanchez Pizjuan memberikan pemenang Liga Europa itu kemenangan agregat 6-0.

ARTIKEL YANG SAMA