Miri dilanda banjir, tanah runtuh

MIRI, 13 Nov – Hujan lebat yang melanda Bandaraya Miri sejak 6.30 petang semalam hingga pagi ini menyebabkan berlaku tanah susur serta banjir kilat di kawasan perkampungan dan perumahan di sini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Miri Razali Junis berkata antara kawasan terjejas teruk ialah Kampung Lereng Bukit yang melibatkan sebuah rumah pondok hampir roboh akibat tanah susur dan perkampungan di Bekenu dilanda banjir kilat.

“Kejadian di Kampung Lereng Bukit hanya melibatkan sebuah rumah kosong dan bomba masih memantau kawasan sekitar untuk memastikan tiada berlaku tanah susur di rumah berhampiran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Razali berkata, kejadian tanah susur dianggarkan berlaku pada 7 pagi ini manakala bomba tiba ke lokasi kejadian pada 9.15 pagi untuk memeriksa tahap keselamatan kawasan terlibat.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan pada 10 Nov lepas menyatakan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan bermula pada 13 Nov hingga Mac 2018 dengan hujan lebat dijangka berlaku di barat serta utara Sarawak selain dari negeri pantai timur di Semenanjung dan Sabah. – Bernama