Miri dilanda jerebu lagi

Miri dilanda jerebu lagi

MIRI, 20 April (Bernama) – Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sedang mengesan sumber pembakaran terbuka yang dipercayai menjadi punca jerebu di bandar ini.

Pengawal NREB Peter Sawal berkata pada masa ini, pegawainya sedang mengumpul maklumat dari Jabatan Tanah dan Ukur mengenai status pemilik tanah.

“Kami bekerjasama dengan pemilik tanah untuk memadamkan kebakaran, selain daripada mengambil tindakan penguatkuasaan jika terdapat elemen pembakaran terbuka secara haram,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata antara lokasi pembakaran tanah gambut ialah berdekatan Eastwood Valley dan kekurangan jalan masuk menghalang usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Jerebu melanda bandar itu sejak semalam menyebabkan jarak ketampakan yang rendah pagi tadi. Walaupun jarak ketampakan rendah, Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan baik iaitu 50 pada 6 pagi, 54 pada 7 pagi dan kembali 50 pada 8 pagi tadi.