Miri potensi jadi hab sukan permotoran antarabangsa

Miri potensi jadi hab sukan permotoran antarabangsa

MIRI, 30 Sept (UM) – Bahagian Miri berpotensi menjadi hub perlumbaan bagi sukan permotoran antarabangsa di Kepulauan Borneo dengan adanya pembinaan kemudahan bagi acara tersebut khasnya litar go-kart dan motorcross.

Menteri Muda Sukan negeri, Datuk Lee Kim Shin berkata, kemudahan bertaraf antarabangsa itu mampu menarik penyertaan dari negara jiran, Brunei, selain Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Saya berharap pihak penganjur akan menjadikan Miri sebagai pusat tetap penganjuran kejohanan ini dan membawa lebih banyak kejohanan sukan motor antarabangsa bagi menarik penyertaan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Penutupan Rasmi Kejohanan FIM Asia Supermoto 2015 pusingan keempat dan Kejohanan Supermoto Malaysia 2015 pusingan kedua di Litar Go Kart di sini semalam.

Menurut Kim Shin, penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu adalah pertama kali di bandar raya ini.

Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan 42 peserta dari sembilan negara termasuk Brunei, Thailand, Jepun, Taiwan, Sri Lanka, Korea, United Kingdom dan Indonesia.

Kejohanan turut menampilkan Juara Supermoto United Kingdom, Chris Hodgson yang pernah memenangi kejohanan Supermoto sebanyak sembilan kali.