Mirza bantu Hingis tawan Wimbledon

Mirza bantu Hingis tawan Wimbledon

LONDON, 12 Julai (AFP) – Martina Hingis menjuarai gelaran Wimbledon pertamanya sejak 1998 apabila bergandingan dengan Sania Mirza untuk menjulang kejuaraan dalam acara beregu, semalam.

Hingis, 34 dan bintang tenis India berusia 28 tahun, Mirza bangkit daripada ketinggalan 2-5 pada set penentuan untuk menewaskan pasangan Rusia, Ekaterina Makarova dan Elena Vesnina dengan keputusan 5-7, 7-6 (7/4), 7-5.

Ia menjadi gelaran Grand Slam pertama pilihan utama kejohanan itu sekalipun hanya mula bergandingan pada Mac tahun ini.

Hingis sebelum ini pernah menjuarai gelaran beregu Wimbledon pada 1996 bersama Helena Sukova dan Jana Novotna pada 1998.

Bagi bintang tenis India, Mirza, ia gelaran utama pertamanya dalam acara beregu wanita sekalipun sudah memenangi tiga kejuaraan Grand Slam dalam acara beregu campuran.

Hingis (kiri) dan Sania meraikan kemenangan selepas menewaskan Makarova dan Vesnina dalam perlawanan akhir beregu wanita Wimbledon di London, semalam. – AFP
Hingis (kiri) dan Sania meraikan kemenangan selepas menewaskan Makarova dan Vesnina dalam perlawanan akhir beregu wanita Wimbledon di London, semalam. – AFP

“Ia seperti hayat yang baharu. 17 tahun, selalunya kamu bertuah untuk menang sekali atau gembira untuk berada di sini atau bermain di gelanggang Wimbledon.

“Ia melebihi semua jangkaan saya,” kata Hingis yang pernah memenangi gelaran perseorangan Wimbledon pada 1997.

“Saya mempunyai pasangan yang hebat yang membantu saya. Ia memerlukan semangat dan keberanian apabila ketinggalan 5-2 pada set ketiga. Saya tidak boleh meminta drama yang lebih bagaimana untuk memenanginya,” katanya.

Pertembungan final begitupun diganggu pada set terakhir ketika permainan di kedudukan 5-5 apabila pencahayaan di stadium kian malap memaksa bumbung di stadium utama ditutup.

Selepas perlawanan disambung, Hingis dan Mirza berjaya memenangi dua perlawanan seterusnya untuk menjulang kejuaraan.

“Untuk berada di sini di Wimbledon, ini adalah mimpi buat semua kanak-kanak,” kata Mirza. Setiap kanak-kanak yang bermain tenis, semuanya berhasrat untuk memenangi Wimbledon atau bermain di Wimbledon satu hari nanti.

“Apabila kami berjaya bangkit ketika 5-5, kami merasa seram sejuk. Tenaga di dalam gelanggang, kita mendapat tepukan gemuruh, ia sukar dipercayai. Kami berdua keluar dan saya berkata, ini adalah sebab mengapa kami bekerja keras, tenaga ini,” kata Mirza.

ARTIKEL YANG SAMA