Misi baru damai Timur Tengah

Misi baru damai Timur Tengah

BAITULMAQDIS/PARIS, 19 Jun (Reuters) – Menteri Luar Perancis menuju ke Timur Tengah hujung minggu ini bertujuan membawa Israel dan Palestin kembali semula ke meja rundingan damai di bawah rangak kerja antarabangsa di tengah-tengah meningkatnya ketidakstabilan serantau.

Usaha diketuai Amerika Syarikat untuk membroker damai bagi penyelesaian dua negara, menyaksikan rundingan menemui jalan buntu pada April 2014 dan pemimpin kedua-dua belah pihak pula semakin lemah pengaruh dari aspek politiknya.

Bagaimanapun berikutan krisis di rantau tersebut semakin buruk dan Washington menilai semula pilihannya mengenai hubungan AS-Israel, Perancis melihat masih belum terlambat untuk menyambung semula rundingan.

Menteri Luar Laurent Fabius akan meneroka prospek bagi rundingan dengan para menteri liga Arab di Kaherah pada esok dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di Ramallah serta Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis pada Ahad.

Menurut seorang diplomat, jika konflik kekal tidak diselesaikan, kumpulan radikal seperti Negara Islam (IS) akan turut menjadikan Palestin sebagai sebahagian perjuangan mereka.

Menteri Luar Perancis Laurent Fabius ketika menyampaikan ucapan pada sesi soal jawab di Dewan Perhimpunan Kebangsaan Perancis di Paris. Gambar fail dirakam pada 17 Jun 2015. – AFP
Menteri Luar Perancis Laurent Fabius ketika menyampaikan ucapan pada sesi soal jawab di Dewan Perhimpunan Kebangsaan Perancis di Paris. Gambar fail dirakam pada 17 Jun 2015. – AFP

Paris berharap untuk memujuk negara-negara Arab, Kesatuan Eropah dan anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) untuk menekan kedua-dua belah pihak supaya mencapai kompromi.

Perancis setakat ini memberikan tumpuan dengan negara-negara Arab mengenai kemungkinan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang akan menetapkan parameter rundingan dan menetapkan tempoh masa, kemungkinan 18 bulan, untuk menyelesaikan rundingan.