Misi hidup mati England

Misi hidup mati England

BAGSHOT, England, 29 Sept (AFP) – Jurulatih England Stuart Lancaster menegaskan pasukannya perlu bangkit daripada kekalahan memilukan pada Ragbi Piala Dunia di tangan Wales apabila berdepan Australia pada pertembungan genting di Twickenham Sabtu ini yang akan menentukan nasib mereka pada kejohanan itu.

“Kami berdepan perlawanan besar menentang Australia dan kami perlu memastikan mampu bertindak lebih bagus serta bermati-matian,” katanya sehari selepas kalah 25-28 kepada Wales di Twickenham, Sabtu lalu.

Anak buah Lancaster dua kali mendahului dengan perbezaan 10 mata namun keputusan itu menyebabkan England berdepan risiko muncul negara tuan rumah pertama tersingkir pada Piala Dunia sebelum peringkat kalah mati.

Mereka kini berdepan Australia, pemenang Kejohanan Ragbi Hemisfera Selatan baru-baru ini, yang menundukkan Fiji 28-13 dan membenam Uruguay 65-3 bagi dua perlawanan pertama dalam Kumpulan A.

Stuart Lancaster tatkala menyelia sesi pemanasan badan anak didiknya di Stadium Twickenham di barat daya London. – AFP
Stuart Lancaster tatkala menyelia sesi pemanasan badan anak didiknya di Stadium Twickenham di barat daya London. – AFP

Ditanya jika pertembungan dengan Australia bagaikan final Piala Dunia, Lancaster berkat: “Sudah tentu. Semuanya bergantung kepada perlawanan ini.

“Kami bermain menentang pasukan berkualiti tinggi, tapi kami sudah mengenali corak pasukan yang kami tundukkan dua kali dalam tempoh dua tahun terakhir.”

Dua kemenangan England itu hadir selepas menguasai ‘scrum’ namun ‘set-piece’ Australia meningkat di bawah kendalian jurulatih Michael Cheika dan Lancaster berkata, pasukannya tidak akan memandang remeh persembahan keseluruhan Australia.

“Kami perlu berada pada tahap terbaik kerana saya kagum dengan persembahan mereka pada Kejohanan Ragbi dan bagaimana mereka banyak meningkat.”

ARTIKEL YANG SAMA