‘Misi ke-23’ Serena gagal

‘Misi ke-23’ Serena gagal

NEW YORK, 9 Sept –Serena menyaksikan dia gagal dalam misi untuk merangkul gelaran ke-23 Grand Slam sekali gus memecahkan rekod profesional dalam era terbuka yang dikongsinya bersama Steffi Graf dengan 22 kejuaraan ketika ini, malah, statusnya sebagai pemain nombor satu dunia akan dirampas Angelique Kerber.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Serena pada separuh akhir Terbuka AS selepas turut tewas pada edisi tahun lalu di Flushing Meadows.

Karolina Pliskova pula dalam pada itu menyifatkan kemenangan ke atas Venus Williams lebih sukar dicapai berbanding menyingkirkan Serena Williams untuk mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Pemain pilihan ke-10 dari Republik Czech itu mencatat kemenangan 6-2, 7-6 (7/5) ke atas Serena dalam aksi separuh akhir sekali gus mara ke final Grand Slam pertamanya.

Pliskova, 24, menjadi pemain keempat yang berjaya menewaskan adik beradik Williams dalam kejohanan Grand Slam yang sama selepas Justine Henin, Kim Clijsters dan Martina Hingis.

Serena meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Pliskova dalam saingan separuh akhir Terbuka AS kelmarin. – AFP
Serena meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Pliskova dalam saingan separuh akhir Terbuka AS kelmarin. – AFP

Bagaimanapun, dia menegaskan menewaskan Venus di pusingan keempat adalah lebih sukar berbanding ketika melekar kejutan ke atas Serena.

“Serena pemain nombor satu dunia, jadi sudah pasti sukar untuk menewaskan dia. Dia tidak pernah berputus asa, biarpun dia tewas kerana tidak bermain pada tahap terbaiknya namun tetap sukar untuk menewaskan pemain seperti ini.

“Bagaimanapun, saya perlu katakan untuk menewaskan Venus adalah lebih sukar kerana saya ketinggalan satu mata dan dia melakukan pukulan servis yang baik berbanding Serena,” kata Pliskova.

Pliskova merupakan pemain Republik Czech pertama mara ke final Terbuka AS sejak Helena Sukova melakukannya pada 1994. Dia akan bertemu pemenang perlawanan antara Kerber dengan Caroline Wozniacki untuk aksi final, esok. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA