Misi kedua bantu padam kebakaran

Misi kedua bantu padam kebakaran

PETALING JAYA, 20 Okt – Malaysia akan menghantar misi kedua bagi membantu memadam kebakaran di Sumatera Selatan, Indonesia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini.

Beliau berkata penghantaran misi kedua itu berikutan keadaan (jerebu) di daerah berkenaan kini berada di tahap amat membimbangkan.

“Berdasarkan laporan awal yang diterima keadaan jerebu akibat kebakaran di sana masih belum pulih, malah teruk,” kata Shahidan.

“Kita ada permintaan sendiri daripada Indonesia untuk meneruskan operasi itu,” katanya pada sidang media selepas menyambut kepulangan pasukan misi bantuan pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Subang di sini, hari ini.

Misi pertama itu berlepas ke Sumatera Selatan pada 9 Oktober lepas.

Pesawat yang terlibat dalam misi itu Bombardier CL415 MP, dan helikopter AS365 N3 Dauphin milik APMM, serta sebuah pesawat Hercules C130 milik TUDM.

Shahidan berkata sepanjang operasi itu, pesawat Bombardier CL 415 MP telah melakukan sebanyak 176 kali ‘water bombing’ iaitu selama 36 jam dengan mengangkut lebih 1 juta liter isi padu air untuk dilepaskan di kawasan kebakaran yang berkeluasan kira-kira 157 km persegi.

“Pesawat itu terpaksa kita bawa balik kerana tempoh penyelenggaraan sudah sampai dan terpaksa diselenggarakan selama 100 jam sebelum kita hantar balik ke sana sama ada pada Jumaat ini atau Isnin depan.

“Sekarang ini kita sedang menunggu arahan Kementerian Pertahanan dan Wisma Putra untuk maklumkan bila pasukan kedua dibenarkan bertolak semula ke sana dan meneruskan operasi,” katanya.

Shahidan menjelaskan peringkat pertama operasi itu dibiayai Malaysia manakala untuk misi kedua, Indonesia akan membantu daripada segi kewangan khususnya minyak bagi pesawat Bombardier CL-415 MP itu.

“Ini kerana kos minyak untuk sebuah pesawat agak mahal dan Indonesia bersetuju membiayai kosnya bagi membantu memadam kebakaran di negara itu sehingga selesai,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan pesawat Bombardier CL-415 MP yang dimiliki negara, Shahidan berkata pihaknya telah membuat permohonan beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini saya telah memberi cadangan menambah aset itu tetapi ia bergantung kepada kewangan kerajaan.

“Kita perlukan Bombardier baharu dan tidak terhad kepada satu sahaja untuk melakukan tugas khas seperi ‘water bombing’ sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Menurut Shahidan, usaha juga sedang dibuat ke arah menambah aset helikopter APMM. Misi memadam kebakaran pertama itu melibatkan 25 pegawai dan anggota APMM. – Bernama