Misi rampas kejuaraan

Misi rampas kejuaraan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Pertemuan antara Pasukan Bio FT dan Star Madang dalam perlawanan peringkat akhir Kejohanan Futsal Piala Perdana Telbru 2015 malam esok akan menguji keampuhan Bio FT untuk merampas gelaran juara musim ini, atau mengulangi kekalahan silam 0-2 di tangan Star Madang.

Walaupun menyerlahkan beberapa muka baru dalam barisan pemainnya, Bio FT yang mengakui telah gigih berlatih dan kini berada pada tahap kecergasan optimum, tetap akan berwaspada dan bersedia dengan strategi ‘counter attack’ dan ‘marking’ beberapa pemain utama yang bakal diturunkan oleh Star Madang pada perlawanan sengit yang mengambil tempat di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Sementara bagi Pasukan Star Madang yang pernah menundukkan Bio FT, pertemuan pada kali ini tidak boleh diambil mudah, sebaliknya persiapan rapi telah dijalani sejak awal lagi bagi merancang ‘game plan’ mantap untuk mematahkan kelincahan para pemain muda pihak lawan.

Pendedahan itu dibuat oleh Ketua Jurulatih kedua-dua pasukan pada sesi persidangan media menjelang perlawanan akhir Kejohanan Futsal Piala Perdana Telbru 2015, yang dipengerusikan oleh Wakil Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah di Bangunan NFABD, Berakas, hari ini.

Persidangan media itu dihadiri Pengurus Star Madang, Pengiran Aliudin bin Pengiran Ahmad bersama Ketua Jurulatih, Mohd Sufri bin Haji Md Yusuf manakala Pasukan Bio FT diwakili oleh Pengurusnya, Mohd Zahrin bin Ahamad dan Ketua Jurulatih Muhd Sahan bin Mumtazali.

Dari kiri: Awang Mohd Sufri dan Pengiran Aliudin dari Star Madang memegang Piala Kejohanan Futsal Piala Perdana Telbru 2015 bersama-sama Mohd Zahrin dan Muhd Sahan dari Bio FT sambil diperhatikan oleh Haji Abdul Razak.
Dari kiri: Awang Mohd Sufri dan Pengiran Aliudin dari Star Madang memegang Piala Kejohanan Futsal Piala Perdana Telbru 2015 bersama-sama Mohd Zahrin dan Muhd Sahan dari Bio FT sambil diperhatikan oleh Haji Abdul Razak.

Ketika ditanya mengenai tahap pencapaian pasukan Bio FT yang baru dua tahun ditubuhkan berbanding Star Madang yang telah mewarnai arena futsal tanah air sejak lebih 10 tahun itu, Muhd Sahan akui pasukannya menghadapi banyak kelemahan semasa menyertai kejohanan itu pada kali pertama.

Bagaimanapun, setelah dua tahun dan banyak perlawanan yang disertai mereka, pengalaman telah mengasah bakat dan kemahiran setiap pemain, terutama para pemain muda mereka, dan kematangan pasukan telah berjaya memanjat satu demi satu tangga kejohanan sehingga mempertemukan mereka sekali lagi dengan Pasukan Star Madang pada perlawanan peringkat akhir untuk membuktikan ketuanan mereka dan menebus kembali kekalahan dua tahun lalu.

“Kami akan menurunkan kesemua pemain pada perlawanan esok kerana yakin mereka semua penuh bersemangat dan sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk berhadapan dengan Star Madang,” kata Muhd Sahan.

Pandangan sama juga diberikan oleh Mohd Sufri yang mana Star Madang telah menjalani latihan intensif sebagai persiapan perlawanan akhir itu dengan semua pemain kini berada di tahap memuaskan.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan mengenai jangkaan jumlah jaringan gol yang bakal diraih Star Madang, sebaliknya beliau meletakkan harapan “50-50” terhadap harapan pasukannya meraih kejuaraan pada musim ini sambil mengingatkan para peminat supaya hadir beramai-ramai menyokong Star Madang dan nantikan kejutan-kejutan yang bakal dilakukan oleh Star Madang pada perlawanan malam esok.

Juara kejohanan itu akan menerima hadiah piala kejohanan, piala iringan, pingat dan wang tunai berjumlah $1,500 manakala naib juara menerima hadiah piala iringan, pingat dan wang tunai berjumlah $1,000, tempat ketiga menerima piala iringan, pingat dan wang tunai sebanyak $500 dan tempat keempat menerima hadiah wang tunai berjumlah $300.

ARTIKEL YANG SAMA