Misi rebut kejuaraan MotoGP

Misi rebut kejuaraan MotoGP

VALENCIA, Sepanyol, 6 Nov (Agensi) – Jorge Lorenzo menegaskan dia berazam melupakan insiden di Sepang dan sebaliknya bermati-matian untuk merebut kejuaraan dunia MotoGP di laman sendiri, hujung minggu ini.

Penunggang Movistar Yamaha itu ketinggalan tujuh mata di belakang rakan sepasukan Valentino Rossi namun kini mempunyai kelebihan menjelang pertembungan di Valencia selepas pelumba Itali itu dikenakan tiga mata penalti kerana didakwa sengaja menolak jatuh Marc Marquez pada GP Malaysia dua minggu lalu.

Mata itu, di samping mata penalti dikenakan di Misano bermakna Rossi akan memulakan perlumbaan di Valencia dari petak belakang.

Bagaimanapun ia belum disahkan selepas penunggang Itali itu merayu hukuman penalti itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Lorenzo juga cuba tampil memberikan keterangan dalam kes Rossi namun ia ditolak CAS dan kini penunggang Sepanyol itu hanya fokus terhadap perlumbaan di litar.

Aksi Jorge Lorenzo ketika sesi latihan bebas pertama MotoGP menjelang Grand Prix Valencia di litar Ricardo Tormo di Cheste, berhampiran Valencia pada 6 November 2015. – AFP
Aksi Jorge Lorenzo ketika sesi latihan bebas pertama MotoGP menjelang Grand Prix Valencia di litar Ricardo Tormo di Cheste, berhampiran Valencia pada 6 November 2015. – AFP

“Kami tiba di Valencia selepas musim yang sibuk dan menarik,” jelas Lorenzo. “Di Malaysia kami meraih keputusan yang bagus dan banyak mata dalam kejuaraan tapi saya akan melupakan apa yang berlaku di sana dan kekal fokus di litar Cheste.”

Lorenzo mengalami nasib berbeza di litar Velencia, meraih dua kemenangan MotoGP di samping dua kali tidak menamatkan perlumbaan sejak 2010 (terlepas 2011 kerana cedera) dan tidak sabar untuk memberikan yang terbaik bagi merebut kejuaraan dunia ketiga.

“Saya harap peminat akan menyokong kami di laman sendiri dan kami menempuhi perlumbaan yang bagus,” ujarnya. “Tahun ini saya menang tiga perlumbaan terakhir di Sepanyol dan jika bertindak baik di Valencia pasti mengagumkan.

“Saya sering mendapat sokongan baik peminat dan saya yakin di Valencia kami akan menikmati pertarungan hebat. Saya akan memberikan segala-galanya di litar bagi merangkul kejuaraan ini.”

ARTIKEL YANG SAMA