Misi Sukan Para ASEAN ke-8

Misi Sukan Para ASEAN ke-8

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Atlet-atlet negara yang bakal beraksi di Sukan Para ASEAN ke-8 bertekad untuk bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi juga membawa misi untuk memperbaiki lagi pencapaian negara dalam temasya sukan berkenaan.

Sehubungan itu, Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai 27 atlet berlepas ke Singapura bagi mengambil bahagian dalam empat acara sukan daripada 15 acara yang dipertandingkan di temasya sukan tersebut.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini untuk mengucapkan selamat berlepas kepada para atlet dan pegawai-pegawai serta jurulatih kontinjen ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pegawai-pegawai kanan kementerian tersebut serta para ahli keluarga kontinjen negara.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin tidak melepaskan peluang untuk memberikan kata-kata nasihat dan pembakar semangat kepada para atlet untuk memberikan mereka dorongan supaya akan melakukan yang terbaik semasa bertanding untuk membawa pulang kejayaan dan mengharumkan nama negara di arena sukan serantau itu.

Yang Berhormat Pehin bergambar-ramai dengan kontinjen Negara Brunei Darussalam sebelum mereka berlepas ke Singapura bagi menyertai Sukan Para ASEAN ke-8.
Yang Berhormat Pehin bergambar-ramai dengan kontinjen Negara Brunei Darussalam sebelum mereka berlepas ke Singapura bagi menyertai Sukan Para ASEAN ke-8.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para ASEAN ke-8 diketuai oleh Ketua Kontinjen, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh di mana para atlet kontinjen telah membuat latihan dan persiapan di bawah tunjuk ajar beberapa orang jurulatih kebangsaan yang berpengalaman.

Kontinjen negara di temasya sukan itu nanti akan mengambil bahagian dalam empat acara sukan iaitu olahraga, pingpong, renang dan tenpin boling di mana atlet-atlet negara yang beraksi menyatakan harapan untuk memperbaiki lagi pencapaian negara dalam temasya sukan itu pada 2014 lalu.

Pencapaian Negara Brunei Darussalam yang lalu dalam Sukan Para ASEAN di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2014, kontinjen negara berjaya membawa pulang dua pingat emas, tiga pingat perak dan tujuh pingat gangsa.

ARTIKEL YANG SAMA