Misi takluk cabaran Powerboat A’bangsa

Misi takluk cabaran Powerboat A’bangsa

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam menghantar sebuah pasukan untuk mewakili negara dalam Kejohanan Powerboat F3000 Antarabangsa di Port Dickson Negeri Sembilan, Malaysia nanti.

Pasukan tersebut diwakili oleh Awang Ismail bin Haji Kabon selaku pemandu bot laju F1 bersama dua pengurus radio iaitu Haji Mohd Taib bin Haji Mohd Yaakub dan Ishak bin Haji Kabon.

Kejohanan di bawah kelolaan Kelab Sukan Powerboat F3000 itu telah menjemput pasukan Negara Brunei Darussalam untuk bertanding dengan negara-negara lain termasuk Malaysia, Brazil, Papua New Guinea, New Zealand, Thailand dan Singapura.

Kejohanan akan diadakan dari 6 hingga 8 November bertempat di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia.

Rombongan Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejurus sebelum berlepas ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Powerboat F3000 Antarabangsa di Port Dickson Negeri Sembilan.
Rombongan Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejurus sebelum berlepas ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Powerboat F3000 Antarabangsa di Port Dickson Negeri Sembilan.

Ia akan merangkumi perlumbaan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori F3000, F1 dan F2. Pasukan Brunei akan menyertai kategori bot laju F1 2.5cc dengan kelajuan maksimum mencapai 300 kuasa kuda.

Menurut Awang Ismail selaku pemandu bot F1 berkenaan, “Tujuan kami menyertai kejohanan ini adalah untuk membawa nama Negara Brunei Darussalam ke arena sukan bot dan ini buat kali kedua pasukan negara menyertai kejohanan di luar negara, kali pertama di Johor, Malaysia yang menyaksikan pasukan negara berjaya muncul sebagai juara pertandingan.

“Harapan kami ialah untuk mencatatkan kemenangan sekali gus mengharumkan nama negara. Pada masa depan, kami juga merancang menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa meskipun memang sukar melangkah ke hadapan berikutan perbelanjaan pengurusan dan barangan sangat mahal, namun akan tetap sentiasa kami usahakan.

“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) di atas sokongan selama ini, selain berharap JBS agar memantapkan lagi kerjasama dengan pihak persatuan bagi memajukan sukan bot laju ke arena lebih besar”.

ARTIKEL YANG SAMA