Misi ujian balistik Korea Utara berjaya

SEOUL, 13 Feb – Korea Utara hari ini berkata ia telah berjaya menguji peluru berpandu balistik baru, yang mengundang gesaan yang didahului oleh AS bagi mesyuarat segera Majlis Keselamatan PBB selepas pelancaran itu dilihat sebagai cabaran kepada Presiden Donald Trump.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un ‘melahirkan rasa amat berpuas hati ekoran pemilikan satu lagi kaedah serangan nuklear berkuasa yang menambah lagi kekuatan hebat negara,’ menurut agensi berita kerajaan, KCNA.

Peluru berpandu dilancarkan semalam berhampiran bandar barat Kusong dan terbang ke timur kira-kira 500 kilometer sebelum jatuh ke Laut Jepun, menurut kementerian pertahanan Korea Selatan.

Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan peluru berpandu dilancarkan ke udara dengan Kim tersenyum melihat dari pusat kawalan dan berdiri di lapangan lancar dikelilingi berbelas-belas orang tentera dan ahli sains yang bertepuk sorak. Menurutnya Kim ‘sendiri memimpin’ persiapan bagi ujian semalam yang disifatkannya sebagai peluru berpandu jarak sederhana dari permukaan ke permukaan, Pukguksong-2, ‘sebuah sistem senjata strategik jenis baru gaya Korea.’

Seorang lelaki ketika melihat berita TV menunjukkan foto yang disiarkan dalam akhbar Rodong Sinmun Korea Utara terhadap pelancaran peluru berpandu dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Stesen kereta api Seoul di Korea Selatan kelmarin. - AP
Seorang lelaki ketika melihat berita TV menunjukkan foto yang disiarkan dalam akhbar Rodong Sinmun Korea Utara terhadap pelancaran peluru berpandu dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Stesen kereta api Seoul di Korea Selatan kelmarin. – AP

KCNA berkata peluru berpandu berkuasa enjin bahan api pepejal – yang memerlukan masa pengisian bahan api lebih singkat dari peluru berpandu biasa berkuasa bahan api cecair, menurut Yun Duk-Min dari Institusi Hal Ehwal Luar dan Keselamatan di Seoul yang dikendali kerajaan.

“Ia meninggalkan masa amarah kecil dan dengan demikian memperlihatkan ancaman lebih besar kepada pihak lawan,” ujarnya, dengan menambah kata peluru berpandu seumpama itu lebih sukar dikesan sebelum dilancarkan oleh pengawasan satelit.

Korea Utara sebelum ini pernah membuat dakwaan tentang kemampuan senjatanya yang dianggap oleh pihak penganalisis tidak meyakinkan. Namun pihak ketenteraan Seoul mengesahkan dakwaan Korea Utara tentang enjin bahan api pepejal, dengan mengatakan kemajuan dalam kemampuannya. – AFP