Misi wajib menang terlaksana

Misi wajib menang terlaksana

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Gol tunggal pemain veteran negara, Mohd Amri Yahyah membolehkan Malaysia mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Timor Leste 1-0 pada aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, hari ini.

Mohd Amri yang diberi tanggungjawab mengetuai skuad Harimau Malaya untuk perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Dili itu, membalas kepercayaan ketua jurulatih sementara negara, Datuk Ong Kim Swee apabila menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-10.

Skuad negara menerima kejutan pada saat akhir apabila dimaklumkan kad kuning kedua Safiq Rahim ketika menentang Arab Saudi dalam perlawanan yang dicemari tindakan penonton di Stadium Shah Alam, 8 Sept lepas, masih dikira walaupun lawan itu diberi kemenangan 3-0, sekali gus digantung satu perlawanan.

Jaringan Mohd Amri yang juga penyerang Johor Darul Ta’zim turut membolehkan skuad kebangsaan naik ke tangga keempat kumpulan itu dengan empat mata daripada empat perlawanan.

Bermain dalam perlawanan yang diadakan pada sebelah petang, skuad negara bermula kemas pada awal babak pertama dengan melakukan beberapa percubaan ke pintu gol lawan tetapi berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Namun gerakan cantik gandingan Azamuddin Akil dan Nazirul Naim yang mengelirukan pertahanan Timor Leste berjaya disudahkan dengan tenang oleh Mohd Amri yang menewaskan penjaga gol, Ramos Saozinho Ribeiro Maxanches pada minit ke-10.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah bangkit melakukan serangan bertali arus ke arah benteng skuad negara namun barisan pertahanan dibarisi Razman Roslan, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Matthiew Davis berjaya mengekang gerakan mereka.

Pintu gol Khairul Fahmi Che Mat hampir dibolosi pada penghujung babak pertama apabila Junior Aparecido Guimaro De Souza yang tidak dikawal kemas berjaya melepasi benteng pertahanan namun sepakannya tersasar ke sebelah kanan pintu gol Malaysia.

Bermula babak kedua, tuan rumah semakin terdesak dan bangkit mempamerkan aksi garang serta lebih agresif mengasak kubu pertahanan Malaysia, namun ketangkasan Khairul Fahmi harus diberi pujian kerana berjaya menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

Pada minit ke-84, sekali lagi pintu gol negara diasak lawan menerusi rembatan Patrick Fabiano namun ditangkap kemas Khairul Fahmi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA