MITI edar buku ringkasan TPPA dalam BM mulai Selasa

MITI edar buku ringkasan TPPA dalam BM mulai Selasa

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengedarkan buku ringkasan terjemahan Bahasa Melayu (BM) draf Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mulai esok (Selasa) dalam usaha untuk memberi penerangan lebih lanjut kepada rakyat.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah tersebut diambil untuk meningkatkan pemahaman rakyat berkenaan TPPA di samping menyalurkan maklumat yang lebih seimbang.

“Harapan kita, apabila kita pergi ke parlimen (untuk membahaskan TPPA), rakyat Malaysia akan mendapat maklumat yang jelas dan seimbang, yang mana kita rasa sebelum ini, maklumat yang disalurkan kepada rakyat adalah berat sebelah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ringkasan “TPPA : Jawapan Kepada Kebimbangan, Salah Faham dan Tuduhan,” di sini, hari ini.

Mustapa berkata, buku ringkasan setebal 81 muka surat itu dibahagikan kepada empat bahagian iaitu ‘mengapa Malaysia menyertai TPPA’, ‘manfaat’, ‘kajian’ serta ‘kebimbangan perjanjian berkenaan kepada negara’.

“Harapan kita dengan adanya buku ini, ia akan membantu rakyat untuk memahami TPPA secara lebih menyeluruh,” katanya.

Pelancaran buku tersebut dibuat sempena program taklimat dan bengkel TPPA selama satu hari kepada ahli-ahli parlimen Barisan Nasional hari ini.